SelangorToday

BAYI GAZA YANG TERSELAMAT DARI RAHIM IBU SYAHID MENINGGAL DUNIA

Seorang bayi perempuan yang dilahirkan dari rahim ibunya yang hampir mati di hospital Gaza berikutan serangan udara Israel, meninggal dunia selepas hanya beberapa hari hidup, menurut doktor yang menjaganya hari ini.

Bayi itu diberi nama Rouh, yang bermaksud jiwa.

Ibunya, Sabreen Al-Sakani, cedera parah apabila serangan Israel mengenai kediaman keluarganya di Rafah, bandar paling selatan di Semenanjung Gaza yang dikepung, pada malam Sabtu.

Suaminya, Shukri dan anak perempuan mereka, Malak yang berusia tiga tahun turut terbunuh.

Sabreen, yang hamil 30 minggu, dikejarkan ke Hospital Emirati di Rafah.

Beliau meninggal dunia akibat lukanya, namun doktor sempat menyelamatkan bayi itu, melahirkannya menerusi pembedahan.

Bagaimanapun, bayi itu mengalami masalah pernafasan dan sistem imun lemah, kata Ketua Unit Neo-natal Kecemasan di Hospital Emirati, Dr Mohammad Salama.

Bayi itu meninggal dunia pada Khamis.

“Saya dan doktor lain cuba menyelamatkannya, tetapi dia meninggal dunia. Bagi saya secara peribadi, ia adalah hari sangat sukar dan menyakitkan,” katanya.

“Dia dilahirkan semasa sistem pernafasannya belum matang dan sistem imunnya sangat lemah. Itulah yang menyebabkan kematiannya. Dia menyertai keluarganya yang lain sebagai syahid,” kata.

Lebih 34,000 rakyat Palestin terbunuh dalam perang enam bulan di Gaza antara Israel dan Hamas, kebanyakannya adalah wanita dan kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan Gaza. Israel menafikan sengaja menyasarkan orang awam dalam serangannya untuk menghapuskan Hamas.

Sebahagian besar Gaza musnah akibat pengeboman berterusan Israel dan kebanyakan hospital di kawasan itu rosak teruk, sementara yang masih beroperasi pula kekurangan bekalan elektrik, peralatan perubatan dan sebgainya.

“Nenek (Rouh) minta saya dan doktor lain menjaganya kerana dia akan menjadi seseorang yang akan mengekalkan ingatan ibu, suami dan adik perempuannya, namun atas kehendak Tuhan, dia meninggal dunia,” katanya. – REUTERS

Exit mobile version