Ahli Parlimen Shah Alam, Hj Azli Yusof membidas ulasan remeh dari pihak-pihak tertentu yang mendakwa ‘démarche’ atau bantahan diplomatik dari Kedutaan Amerika Syarikat (di Kuala Lumpur) dan Kedutaan Malaysia di Washington yang diterima oleh Kementerian Luar Malaysia adalah satu yang biasa dan tidak dianggap sebagai tekanan atau ugutan. Hj Azli memetik pandangan yang dikeluarkan oleh bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid bin Syed Jaafar Albar bahawa jika sekali bantahan diplomatik itu dikeluarkan ia merupakan perkara biasa, namun jika sebanyak tiga kali ia dikeluarkan, ia merupakan satu tekanan serius yang perlu diberikan perhatian.
Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor itu mencelah sesi penggulungan perbahasan Belanjawan Madani 2024 oleh Menteri Luar, Dr. Zambry Abdul Kadir di Dewan Rakyat semalam. Menjawab celahan Ahli Parlimen Shah Alam itu, Dr. Zambry menegaskan démarche daripada Amerika Syarikat tidak boleh dianggap biasa-biasa memandangkan ia perlu dilihat mengapa dan konteks apa démarche itu dikeluarkan. Jelas beliau, krisis yang begitu tegang diambil oleh kuasa besar khususnya Amerika Syarikat telah mendorong Malaysia berhati-hati dalam tindakan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat kepada Malaysia.
Dr. Zambry juga membidas celahan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal yang mendakwa bahawa bekas Menteri Luar sebelum-sebelum ini iaitu Hishamudin Tun Hussein dan Saifudin Abdullah berkata ‘démarche’ merupakan amalan biasa dalam hubungan diplomatik. Sebaliknya Dr. Zambry menambah, dalam konteks ketegangan di Timur Tengah yang serius, menyebabkan Malaysia perlu berhati-hati dan mengambil tindakan yang sesuai seperti ada yang cadangkan Malaysia menghantar notis bantahan atau mengambil duta Amerika Syarikat.
Sebelum ini Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menasihatkan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal agar hanya membuat kenyataan perkara-perkara yang diketahui sahaja. Tegas Mohamed Nazri, Wan Ahmad Fayhsal perlu memahami sama ada demarche (tata tindak) itu satu ugutan atau tidak bergantung kepada isinya. – SelangorToday