Abdul Kadir Sheikh Fadzir dikatakan telah kembali bersama Umno, sekali gus tidak lagi memimpin Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).
Pengumuman itu dikatakan dibuat Kadir yang juga bekas Menteri Kesenian, Kebudayaan dan Pelancongan itu ketika menghadiri musyawarah isu-isu Islam dan bumiputera membabitkan lapan parti Melayu di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur minggu lalu.
Musyawarah berkenaan dipengerusikan Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki.
“Kadir mengumumkan yang beliau telah kembali kepada Umno dan memaklumkan kepada Asyraf segala jemputan ke atasnya bukan lagi atas kapasiti Ikatan selepas ini.
“Dia secara rasminya telah kembali ke rumah Umno,” kata seorang pemimpin parti politik yang turut serta pada musyawarah itu dan enggan namanya didedahkan.
Keputusan Kadir kembali kepada Umno dikatakan sebagai menyambut seruan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang membuka pintu Rumah Bangsa tanpa sebarang syarat.
Kadir memimpin Ikatan sejak parti itu dilancarkan pada 15 Mei 2015, selepas dia tidak lagi bersama Umno.
Ikatan di bawah kepimpinan Kadir pada 2016 telah menjalinkan kerjasama dengan PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Sementara itu, seorang pemimpin parti Ikatan mengesahkan bahawa Kadir tidak lagi bersama dengan Ikatan.
Bagaimanapun dia dikatakan masih mahu berkhidmat kepada parti itu sebagai penasihat.