SelangorToday

BEKAS PANGLIMA ATM JADI CALON, TANDA KERAJAAN PERPADUAN TAK ABAI MELAYU ISLAM – MOHAMAD SABU

Timbalan Pengerusi HARAPAN, Mohamad Sabu menempelak dakwaan segelitir pihak yang mendakwa Kerajaan Perpaduan mengabaikan golongan melayu Islam ketika ini. Kata beliau, calon yang dipilih mewakili BN dan PERPADUAN di Kemaman iaitu Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor bukan orang biasa, beliau merupakan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia(ATM) yang merupakan orang nombor satu angkatan tersebut. Beliau diberi tanggungjawab satu ketika dahulu mengemudi angkatan yang bertindak sebagai pasukan hadapan mempertahankan negara, agama dan keamanan negara. Jika Kerajaan Perpaduan kononnya mengabaikan melayu Islam, sudah pasti Raja Mohamed Affandi tidak akan bersetuju menjadi calon BN dan PERPADUAN.

Namun, persetujuan beliau untuk menjadi calon kata Mohamad yang juga Presiden AMANAH menandakan bahawa PERPADUAN tidak meminggirkan aspek pembangunan melayu Islam. Mohamad bercakap ketika Ceramah Mega PRK Kemaman pada semalam yang turut disertai oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim. Disamping itu, Mohamad turut berkata tidak salah untuk bermimpi untuk meletakkan calon PAS PRK Kemaman sebagai calon Perdana Menteri daripada PAS.  Namun beliau berkata, mimpi itu dengan harapan ramai ahli parlimen kerajaan berubah menyokong Perikatan Nasional(PN). Tetapi yang terjadi lima ahli parlimen PN pula yang menyokong Kerajaan Perpaduan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu lagi mendakwa, PAS tidak pernah membantah apabila kerajaan PN menaikkan kadar cabutan judi daripada 8 kepada 22. Malah PAS juga sudah mula berubah apabila kerajaan negeri pimpinan mereka telah membenarkan konsert yang berunsur kebebasan diadakan di Kelantan. Mohamad menyeru pengundi Kemaman untuk menolak calon PAS tersebut dan memberi peluang kepada Raja Mohamed Affandi. Ini kerana beliau mampu menjadi jambatan antara Kerajaan Perpaduan dan rakyat Terengganu. – SelangorToday

Exit mobile version