SelangorToday

BELA IBU BEKERJA, ANFAAL UMUM SELANGOR SEDIA RM1,000 UNTUK 5,000 PEMOHON

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari mengumumkan keputusan Kerajaan Perpaduan Selangor menunaikan janji mereka dalam Pilihan Raya Negeri Ogos lalu. Janji tersebut adalah insentif MamaKerja Selangor yang menyediakan RM1,000 buat ibu yang bekerja demi membantu keluarga menampung perbelanjaan hidup. Ketika berucap melancarkan insentif tersebut, Anfaal memaklumkan usaha Kerajaan Perpaduan Selangor itu mahu mengangkat martabat wanita bekerja yang mempunyai anak-anak. Insentif ini juga merupakan program baharu dibawah portfolio beliau.

Dalam menterjemahkan keprihatinan kerajaan Selangor dalam aspek ekonomi penjagaan ataupun ‘care economy’, kerajaan Selangor yang diterajui oleh HARAPAN dan Barisan Nasional Selangor itu menyediakan insentif tersebut kepada 5,000 ibu bekerja demi meringankan beban penjagaan anak-anak.  Anfaal yang juga Naib Ketua Angkatan Wanita AMANAH Negara(AWAN) Nasional menambah, langkah ini juga menjadi pendorong penubuhan kerangka Ekonomi Penjagaan sebagai jawatankuasa baharu yang sedang direncanakan. Beliau juga memetik kajian Merdeka Centre dan The Asia Foundation yang menyatakan di  Selangor, pada tahun 2020-2022 golongan wanita bekerja menghadapi cabaran kos penjagaan anak yang tinggi mendorong kerajaan Selangor akan membentuk langkah yang menjamin kesejahteraan aspek penjagaan anak-anak dan warga emas.

Anfaal yang merupakan ADN Taman Templer menjelaskan rakyat Selangor boleh memohon insentif ini melalui aplikasi Selangkah dibawah slot MamaKerja dengan syarat asas ibu bekerja tersebut lahir atau bermastautin di Selangor. Akhirnya Anfaal menegaskan usaha ini adalah untuk meningkatkan partisipasi wanita Selangor dalam tenaga buruh sekaligus mengiktiraf peranan wanita dalam menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara. – SelangoToday

Exit mobile version