Belanjawan 2024 yang dijangka akan dibentangkan penghujung Oktober ini oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan bakal menerima sentuhan daripada agensi agama dan tokoh Islam. Anwar Ibrahim ketika melancarkan Konvensyen Pengurusan Hal Ehwal Islam sempena Ijtimak Perdana Agensi Agama seluruh Malaysia di Kota Kinabalu, Sabah berkata, draf Belanjawan 2024 telah dikirimkan kepada Ketua Pengarah Jakim dan memohon agar draf itu diulas oleh pihak tokoh agama agar input daripada pihak mereka akan diserap dalam Belanjawan kali ini.
Anwar yang juga Pengerusi HARAPAN menambah, era Malaysia MADANI akan mengangkat peranan tokoh dan agensi agama bukan sekadar melaksanakan program agama semata-mata, lebih penting lagi memberikan input kepada kerajaan terutamanya aspek ekonomi agar belanjawan yang dibentangkan benar-benar mengangkat nilai Islam yang sebenar. Beliau mahu kelompok agamawan memberikan pandangan bukan terhad kepada isu keagamaan sahaja, malah isu yang relevan buat mereka.
Perdana Menteri menghadiri porgram ijtimak tersebut yang berlangsung dari 30 september 2023 hingga esok. Seramai 1,837 orang peserta daripada pelbagai agensi hal ehwa Islam menyertai program tersebut. Tambah Anwar, Malaysia MADANI menjadi perencah utama kepada pembinaan Belanjawan 2024. Oleh itu input agamawan sangat membantu bagi menyuntih nilai Islam dalam Belanjawan kali ini. SelangorToday