Belanjawan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Jumaat lalu disifatkan sebagai menepati keperluan semasa Kementerian Pertahanan(MINDEF) dalam meningkatkan keupayaan pasukan pertahanan. Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari menjelaskan peruntukan yang diumumkan itu akan membolehkan MINDEF menggerakan proses perolehan aset baharu demi meningkatkan tahap kesiapsiagaan di pintu sempadan darat dan perairan negara.
Tambah beliau yang juga Naib Presiden AMANAH itu, dengan peruntukan sebanyak RM19.7 bilion itu, MINDEF akan memberikan perhatian kepada antaranya pembinaan tujuh lagi pos kawalan di pintu sempadan Sarawak-Kalimantan, selain pembelian tiga Littoral Mission Ship(LMS) bagi kawalan di Markas Wilayah Laut, Mawila 4.
Beliau yang ditemui ketika merasmikan Bengkel Pendanaan Politik, di Ayer Keroh menambah, belanjawan yang dibentangkan oleh Pengerusi HARAPAN itu juga menunjukkan kebajikan anggota tentera termasuk veteran tidak pernah dipinggirkan, sebaliknya ia terus diberikan perhatian. Jelas adly lagi, peruntukkan Rumah Angkatan Tentera bagi golongan berkenaan dipertingkatkan kepada RM400 juta berbanding RM100 juta tahu lalu merupakan komitmen kerajaan dalam pemerkasaan anggota dan veteran ATM. – SelangorToday