SelangorToday

BELUM BERCADANG HAPUS MONOPOLI BERNAS, MEKANISME DIGUNAKAN HADAPI KETIDAKSTABILAN HARGA BERAS

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad bin Sabu memaklumkan kerajaan belum bercadang untuk menghapuskan monopoli Padiberas Nasional Berhad(BERNAS) sebagai pengimport beras di negara ini. Tambah beliau, dasar pengimport utama beras yang sedang dilaksana ketika ini adalah kaedah terbaik dalam menangani cabaran semasa dan mendatang.

Mohamad yang juga Presiden AMANAH berkata lagi, dasar berkenaan adalah mekanisme utama yang memberi keupayaan kepada negara untuk menghadapi cabaran ketidakstabilan harga beras antarabangsa. Jelas beliau, dasar pengimport utama adalah mekanisme ‘gatekeeping’ yang berfungsi sebagai benteng bagi melindungi industri pada dan beras tempatan daripada terdedah kepada ketidaktentuan kedudukan pasaran antarabangsa.

Ahli Parlimen Kota Raja itu menjawab soalan Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew di Dewan Rakyat pagi ini. Apa-apa pun Mohamad berkata sebarang keputusan mengenai perubahan dasar ini wajib mengambil kira kebajikan dan pendapatan pesawah, kestabilan dan jaminan bekalan makanan negara serta dasar semasa kementerian. – SelangorToday

Exit mobile version