Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, Ustazah Mariam Abdul Rashid melihat insentif MamaKerja yang baru dilancarkan oleh Kerajaan Selangor merupakan inisiatif serampang dua mata kepada rakyat Selangor. Hal ini dilihat kerana, kerajaan terus menyokong penglibatan wanita dalam sektor pekerjaan dalam masa yang sama membantu meringankan beban penjagaan anak-anak yang pastinya sedang meningkat.
Ini juga boleh menjadi galakkan kepada golongan wanita untuk bekerja memandangkan sebelum ini akibat kos penjagaan anak yang tinggi menyebabkan mereka memilih untuk berhenti kerja. Sedangkan jika dilihat kepada keadaannya, golongan wanita lebih ramai memperoleh pendidikan tinggi yang melayakkan mereka terus berkecimpung dalam pasaran kerja. Namun berlaku sebaliknya akibat masalah kos penjagaan.
Ustazah Mariam menjelaskan, secara tidak langsung kerajaan telah membantu mengurangkan kos penjagaan terutama taska dan tadika kerana bagi beliau, pastinya wang yang diterima akan digunakan untuk membiayai keperluan anak-anak mereka. Taska dan tadika ini merupakan sistem sokongan penjagaan bagi wanita bekerja. Oleh itu pusingan wang yang digunakan untuk membiayai kos penjagaan anak akan mengukuhkan sistem sokongan tersebut supaya lebih selamat, berkualiti dan mantap.
Tambah Naib Pengerusi AMANAH Selangor itu lagi, insentif ini bukan sekadar untuk menunaikan janji Pilihan Raya Negeri yang lalu semata-mata, lebih penting lagi Kerajaan Selangor mengiktiraf golongan wanita sebagai salah kelompok pekerja yang menyumbang kepada pembangunan negara. – SelangorToday