Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda(MADA), Dr. Ismail Salleh membidas Exco Pelaburan Kerajaan Negeri Kedah, Dr. Haim Hilman Abdullah kerana menyatakan harapannya terhadap prestasi jelapang padi itu tanpa melihat fakta dan angka yang sebenar dan relevan.
Melalui video yang dimuat naik melalui Tiktoknya, Dr. Ismail memahami cita-cita dan harapan kerajaan PAS di Kedah, namun ia mestilah berpaksikan kepada fakta sebenar dan unjuran yang logik akal.
Kata Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional itu, Dr. Haim membandingkan keluasan tanah untuk menjana hasil negeri antara sektor pertanian dan sektor perindustrian. Perbandingan yang dibuat melalui keluasan tanah yang sama antara dua sektor ini amatlah janggal, kerana terdapat perbezaan yang ketara antara sektor pertanian dan perindustrian baik dari segi penggunaan tanah, cukai dan pembayaran hasil.
Oleh itu, Dr. Ismail melihat fakta dan perbandingan yang dibentangkan oleh bekas tenaga pengajar di Institusi Pendidikan Tinggi itu di Dewan Undangan Negeri Kedah amat memalukan.
Misalnya, kawasan jelapang padi tidak boleh dibandingkan dengan kawasan tanaman durian mahupun nenas, inikan pula nak dibandingkan dengan kawasan perindustrian, memang tidak logik.
Sebelum itu, dalam DUN Kedah, Dr. Haim yang juga ADUN Jitra menyatakan jika kawasan yang sama seperti Kulim HiTech dimanfaatkan untuk penaman padi, ia akan melipatgandakan hasil padi Negeri Kedah dan menjana pendapatan kerajaan negeri.
Namun begitu, Dr. Ismail menjawab dakwaan bahawa MADA dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan tidak mempunyai pelan strategik untuk meningkatkan keluaran hasil padi.
Sebaliknya, MADA telah melaksanakan Smart SBB dan pengurusan secara estet. Manakala melalui KPKM, dibawah belanjawan MADANI 2025 menerima RM1 bilion untuk menaiktaraf 15 blok pengairan. –SelangorToday