Selepas pengumuman Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul baru-baru ini terkait kedudukan enam ahli parlimen yang dipecat daripada BERSATU membuktikan parti yang pernah bersekutu dengan AMANAH, KEADILAN dan DAP itu jelas tersilap langkah dalam menyusun strategi politik mereka. Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan berkata usaha BERSATU meminda perlembagaan parti selepas Pilihan Raya Umum jelas memakan diri. Beliau menambah meminda perlembagaan setelah tujuh orang wakil rakyat mereka mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menunjukkan BERSATU menyusun langkah untuk memecat mereka tanpa dilihat sebagai pemecatan.
Pengerusi HARAPAN Negeri Johor itu memberi maklum balas ketika ditanya berkaitan kritikan pembangkang khususnya BERSATU selepas Johari Abdul memutuskan tiada pengosongan kerusi bagi enam kerusi parlimen setelah wakil rakyat tersebut dipecat. Jelas Aminolhuda lagi, berbeza dengan parti yang lain seperti AMANAH, KEADILAN, DAP dan UMNO-BN yang telah memindah perlembagaan sebelum PRU dan mempunyai aku janji yang jelas. Soalnya, mengapakah setelah beberapa wakil rakyat BERSATU telah memindah sokongan, barulah BERSATU mahu meminda perlembagaan sedangkan parti lain terus bertindak selepas pindaan perlembagaan terkait pengguguran ahli Dewan Rakyat dibuat. Ini menunjukkan permaian politik BERSATU melaluI pindaan perlembagaan parti dan Perlembagaan Persekutuan yang sebelum ini diharapkan dapat menguntungkan BERSATU berlaku sebaliknya.
Mengulas kesediaan Perdana Menteri untuk memperketatkan pindaan perlembagan berkaitan pengguguran ahli Dewan Rakyat akibat lompat parti, Aminolhuda yang juga bekas Exco Kanan Kerajaan Negeri Johor memberi sepenuh sokongan kepada usaha tersebut dan melihat ia menjurus ke arah kestabilan politik yang lebih terjamin dan memberi peluang kepada wakil rakyat menumpukan usaha membangunkan negara berbanding bermain politik. – SelangorToday