SelangorToday

BERSATU RAI ULANG TAHUN PENUBUHAN DALAM KEADAAN LEMAH DAN RUMIT

Baru-baru ini parti melayu yang ditubuhkan pasca meletupnya isu 1MDB, Parti Peribumi Bersatu Malaysia menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-8. Meskipun bermula dengan perjalanan yang sangat mencabar ketika menubuhkan parti tersebut semasa era Najib Tun Razak, namun BERSATU atau PPBM telah pun berjaya mewujudkan parti serpihan UMNO itu setelah mereka dan Pakatan Harapan menawan Putrajaya.

Saban tahun BERSATU meraikan ulang tahun penubuhannya, tetapi bagi kali ini, BERSATU meraikannya dalam keadaan lemah dan kesal berdasarkan keadaan partinya sekarang. Dulu, BERSATU berkobar-kobar meraikan kewujudan partinya demi membawa Malaysia ke dimensi baharu bersama DAP, KEADILAN dan AMANAH. Syaratnya mereka perlulah menurunkan Najib Tun Razak. Setelah menjadi kerajaan, BERSATU meraikan ulang tahun penubuhannya sebagai parti pemerintah yang berkuasa di dalam komposisi kabinet dan negeri-negeri namun jumlah kerusi kedua terendah di Dewan Rakyat.

Apa pun ketika itu BERSATU tetap positif akan kedudukannya. Selagi Tun Dr. Mahathir Pengerusi BERSATU kekal sebagai Perdana Menteri, BERSATU akan terus menguasai PH dan kerajaan. Malangnya sikap gopoh BERSATU mahu menguasai kerusi di Dewan Rakyat telah mendorong pelompat-pelompat parti menyertai BERSATU secara tidak langsung berada dalam blok PH. Disini nilai kepercayaan antara parti komponen PH mula tergugat, dan kesannya BERSATU sendiri mula takut akan bayang-bayangnya.

Sebab itu BERSATU mula mencari pendekatan lain termasuk mengelakkan serahan kuasa kepada Anwar Ibrahim seperti yang dijanjikan sebelum PRU 2018. Jika BERSATU kekal dengan komposisi kerusi yang ada, serta mentadbir secara rasional dengan rakan-rakan dalam PH, pastinya tiada sebarang konflik berhubung transisi kuasa antara Tun dan Anwar. Harga yang perlu dibayar oleh BERSATU ialah mengkhianati PH dan menubuhkan kerajaan majoriti tipis.

Berbanding ketika bersama PH, BERSATU menduduki ke semua kerusi – kerusi penting dalam kabinet temasuk menjadi Menteri Besar di Kedah, Johor dan Perak. Sebaliknya apabila BERSATU mengkhianati PH dan membentuk kerajaan Perikatan Nasional, ke semua posisi penting yang dimiliki BERSATU hilang dari penguasaannya termasuk jawatan Perdana Menteri.

BERSATU meyakini bahawa mereka akan menggantikan UMNO sebagai peneraju bangsa melayu. Hakikatnya para pemikir dan strategis BERSATU masih belum berupaya mengatasi keupayaan para pemikir UMNO. Hentaman yang menjatuhkan UMNO pada tahun 2018 tidak menghilangkan keupayaan mereka menguasai semula politik melayu Islam. Sebaliknya BERSATU yang gopoh mahu menggapai status parti melayu tunggal di Malaysia terlondeh akibat pengkhianatannya sendiri kepada PH.

Pasca PRU ke-15 juga memberi nasib malang yang bertimpa kepada BERSATU, sememangnya PN menguasai empat negeri termasuk Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan selepas PRN Ogos 2023, BERSATU tidak dipilih untuk mengetuai kerajaan negeri. Sebaliknya ia dikuasai penuh oleh PAS. Tambah malang, BERSATU gagal menduduki semula Putrajaya akibat keangkuhannya menolak pelawaan Yang Dipertuan Agong menubuhkan Kerajaan Perpaduan.

Kini BERSATU meraikan Perayaan Ulang Tahun Penubuhannya yang ke-8 dengan penuh rasa kekesalan dan semangat yang lemah longlai. Mana tidaknya, setelah merima kesan buruk akibat pengkhianatannya kepada PH, BERSATU mengalami sindrom hilang kepercayaan ahli dan pemimpinnya dengan enam ahli parlimen serta dua ahli dewan undangan negeri dari BERSATU mengalihkan sokongan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Setelah itu, usaha mereka untuk mengembalikan maruah BERSATU melalui Pilihan Raya Kecil DUN Nenggiri gagal apabila UMNO yang mewakili Kerajaan Perpaduan menang bergaya. Ketika kempen berjalan, Pengerusi PN yang juga Presiden BERSATU telah didakwa menyentuh elemen 3R yang dipercayai mengheret Institusi Diraja dalam pertarungan politik. Natijahnya, Muhyiddin Md Yassin didakwa dibawah akta Hasutan. 

Perbuatan merendahkan Institusi Diraja merupakan satu kepantangan buat orang melayu. Sejauh mana pun berpolitik, Raja-Raja Melayu jangan diperlekehkan. Maka meskipun Muhyiddin baru didakwa, imej beliau semakin buruk dalam masyarakat disamping bakal menjadi liabiliti kepada BERSATU dan PN. 

Kepimpinan BERSATU pula terus terperangkap dengan belengu liabiliti sang presiden itu memandangkan beberapa bulan lalu, Muhyiddin telah pun berikrar untuk meneruskan kepimpinannya dalam BERSATU bagi penggal akan datang. Ini menunjukkan BERSATU akan kekal dalam kemerosotan prestasinya atas krisis kepercayaan dan liabiliti yang ditanggung oleh BERSATU. 

Mungkin perayaan ulang tahun penubuhan BERSATU kali ini menjadi edisi yang paling sedih dan merumitkan buat ahli dan penyokong mereka. Tidak ada jalan untuk mereka bangkit selagi Muhyiddin terus mempertahankan keazamannya mengemudi BERSATU.

Exit mobile version