SelangorToday

BERSEDIAKAH KERAJAAN LAKSANA ‘DIYAT’ DALAM PERUNDANGAN MALAYSIA – MP SHAH ALAM

Dewan Rakyat – Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Hj Azli Yusof bertanyakan kepada kerajaan Madani adakah kerajaan bersedia untuk melaksanakan ‘Diyat’ untuk diserap dalam sistem perundangan di Malaysia khususnya bagi kesalahan bunuh atau kecederaan pada anggota badan.

Sebagai makluman ‘Diyat’ bermaksud sejumlah harta yang diwajibkan dengan perlakuan jenayah terhadap nyawa atau sesuatu yang setaraf dengannya. Al-Arsh pula ialah sejumlah harta yang diwajibkan kadarnya menurut syara’ dengan perlakuan jenayah terhadap apa-apa yang tidak membabitkan nyawa iaitu tidak melibatkan diyat sempurna terhadap mana-mana anggota. ‘Diyat’ juga dapat difahami sebagai hukuman penggantian yang utama bagi hukuman qisas jika gugur hukuman qisas dengan sebab-sebab yang menggugurkannya ataupun jika pesalah dimaafkan oleh mangsa atau waris .

Jelas Hj Azli berpaksikan Perlembagaan Persekutuan, Malaysia boleh melaksanakan ‘Diyat’ tanpa perlu menggubal undang-undang baharu. Sebaliknya seksyen 426 Kanun Procedur Jenayah(Akta 593) dalam Perlembagaan Persekutuan sebenarnya membuka ruang ke arah pelaksanaan ‘Diyat’ dalam sistem perundangan Malaysia. Ahli Parlimen Shah Alam itu turut menambah, bahawa bekas Mufti Wilayah yang pernah diamanahkan sebagai Menteri Hal Ehwal Agama Islam, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri pernah menulis hal tersebut di dalam Bayan Linnas siri 185. Kata beliau lagi, jika kerajaan bersedia melaksanakannya, Malaysia telah mengorak langkah dalam memastikan keadilan sistem perundangan negara dan memenuhi maqasid syariah yang ditetapkan.

Sebelum itu Hj Azli ketika mencadangkan usul menjunjung kasih Titah Diraja sempena Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Majlis Parlimen kelima belas Dewan Rakyat menjwab manipulasi pihak tertentu kepada kerajaan setelah keputusan penghakiman kes Nik Elin Zurina dan Tengku Yasmin lawan Kerajaan Kelantan diumumkan. Tegas Hj Azli, isu ini berkaitan perlembagaan jauh sekali meruntuhkan Enakmen Syariah Jenayah yang wujud di negeri-negeri. Sepatutnya isu ini membuka ruang dan peluang agara Enakmen Kanun Syariah Jenayah negeri-negeri diharmonikan dengan Senarai Persekutuan.

Malangnya ada ahli politik sama ada sengaja atau tidak sengaja tidak memahami masalah sebenar dan menimbulkan keresahan kepada masyarakat. – SelangorToday

Exit mobile version