SelangorToday

BERTANDING DI TAMAN TEMPLER, ANFAAL BUKTIKAN KEUPAYAAN DIRI

“Rekod dan prestasi saya yang perlu dinilai, bukan atas kapasiti saya sebagai anak Saari Sungib (penyandang ADUN Hulu Kelang), ” kata calon PH Taman Templer, Anfaal Saari.

Anfaal berkata, menjadi anak kepada seseorang yang berpengaruh bukan satu pilihan walaupun ada yang beranggapan itu merupakan satu keistimewaan.

Anfaal bagaimanapun menegaskan, beliau diangkat sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer atas kapasitinya sebagai Ketua Wanita Parti Amanah Negara (Amanah) Gombak dan Naib Ketua Wanita Amanah nasional.

“Saya bermula sebagai Ahli Majlis MPS (Majlis Perbandaran Selayang pada 2018 kemudian Majlis Perbandaran Ampang Jaya.

“Apabila disenarai calon, asalnya saya di DUN Hulu Kelang kemudian ditukar ke DUN Taman Templer. Saya bertanding untuk memenuhi kuota wanita dalam parti.

“Bermakna saya berdiri atas kaki sendiri dan atas kompetensi diri. Saya tak menjaja nama bapa untuk dapat jawatan. Namun penghormatan ke atas bapa, merupakan satu nilai tambah buat saya,” katanya ditemui pada salah program kempen PRN baru-baru ini.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan beliau dipilih sebagai calon Amanah atas pengaruh bapanya, Saari yang tidak mempertahankan kerusi Hulu Kelang pada PRN 12 Ogos ini kerana masalah kesihatan.

Dalam pada itu, beliau meletakkan keyakinan mampu mempertahankan kerusi DUN Taman Templer yang sebelum ini disandang wakil Amanah, Sany Hamzan.

Exit mobile version