SelangorToday

BETAPA BESARNYA HARAPAN PMX KEPADA GURU MALAYSIA

Sebagai satu-satunya Perdana Menteri Malaysia yang pernah berkhidmat sebagai pendidik, Anwar Ibrahim mempunyai aspirasi yang sangat tinggi terhadap pendidikan negara. Ketika menjadi Menteri Pendidikan era 80an, sudah banyak perkara yang telah diatasi oleh beliau memandangkan ketika itu beliau merupakan tokoh politik muda.

Malah ketika Anwar diberi tanggungjawab tersebut, karisma beliau selaku pejuang agama yang membawa pendekatan moderat telah membasmi amalan sesat yang dicampuri dalam pendidikan Agama Islam kebangsaan. Pendidikan negara ditiupkan dengan roh yang yang ampuh melalui Falsafah Pendidikan Kebangsaan(FPK).

Meskipun ia telah menjadi sejarah yang panjang buat dunia pendidikan, tindakan Presiden KEADILAN yang pernah menjadi Timbalan Presiden UMNO itu memberikan kesan jangka panjang yang baik kepada generasi hari ini. Jelas disini kita melihat, ideaslisme pendidikan atau dasar yang ditetapkan bakal menjadi penentu kepada corak generasi masa depan negara.

Hari ini Anwar telah pun dipilih sebagai Perdana Menteri, berbeza dengan keadaan 38 tahun lalu, Pengerusi HARAPAN itu mengemudi bahtera negara dibawah payung perpaduan. Buat pertama kalinya, Anwar menyatakan harapan besarnya kepada warga pendidik ketika merasmikan Majlis Sambutan Jubli Emas Penubuhan  Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan(NUTP) hujung minggu lalu.

Kata beliau, asas atau tunjang perubahan negara yang sedang beliau gagaskan pada hari ini ditentukan atas komitmen dan kesungguhan guru-guru yang bersamanya. Hal ini demikian kerana, warga pendidiklah menjadi enjin perubahan yang mampu menerapkan nilai-nilai MADANI yang beliau lontarkan dalam sanubari anak bangsa. Betapa besarnya peranan seorang guru atau sebuah institusi pendidikan dalam melakukan perubahan besar kepada negara.

Mengukuhkan hujahnya, Anwar yang juga Menteri Kewangan memetik sirah nabawiah ketika peristiwa hijrah. Keutamaan sebelum melakukan hijrah adalah soal pendidikan. Perlunya masyarakat Islam di Mekah ketika itu diberi pencerahan dan pendidikan tentang agama sebelum melaksanakan hijrah. Malah dua tokoh pencerah diutuskan iaitu  Mus’ab bin Umair dan Abdullah Ibnu Maktum untuk melakukan dakwah di tempat penghijarah sebelum seluruh masyarakat Islam Mekah sampai disana. Ironinya, pentingnya soal pendidikan dalam menjayakan misi hijrah atau dalam konteks hari ini sebagai perubahan baik kepada masyarakat mahupun negara.

Ahli Parlimen Tambun itu turut menambah, apa sahaja pemacuan negara dalam bentuk digital, AI mahupun masyarakat madani bergantung kepada kejituan guru Malaysia untuk membentuk dan menggilapnya. Tidak menafikan besar tanggungjawab seorang guru, beliau melontarkan harapan yang pesat dengan cita-cita serta impian, agar Malaysia kelak berganjak kepada satu tahap yang lebih baik.

Adapun begitu, kesungguhan Anwar dilihat bakal terhalang dengan beberapa masalah fundamental yang membumi dunia pendidikan. Harapan Anwar bakal berjaya apabila fokus dan momentum guru Malaysia kembali kepada tujuan asal mereka sebagai pendidik. Pokok, beban tugas guru yang berada pada tahap maksimum akan menghalang saranan Anwar itu sementara dilihat sukar untuk Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menanganinya.

Apabila guru berada pada tahap terbaik, apa sahaja arah tuju yang ditunjukkan oleh kerajaan akan mampu dipikul oleh guru. Sebaliknya dengan kondisi yang kurang bermaya, rencam pendidikan yang tidak teratur serta minat guru kepada pendidikan tidak begitu mendalam akan menjadi halangan yang merobohkan cita-cita Anwar.

Jujurlah, bahawa dengan kenaikan gaji yang besar guru-guru Malaysia, ia menjadi sedikit pencetus pemangkin kemajuan negara, tetapi aspek gaji boleh mengatasi beberapa peratus fokus guru Malaysia berbanding dengan aspek kesejahteraan dan kebajikan guru sebagai tonggak negara diatasi secepat mungkin.

Apabila PMX mengharapkan guru Malaysia, Guru Malaysia juga mengharapkan PMX.

Exit mobile version