
Kota Kinabalu, 5 Jun 2025 — Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Rendy Ismail, yang mewakili Malaysia Timur menegaskan bahawa perjuangan membela hak rakyat Sabah tidak seharusnya dimonopoli oleh satu pihak sahaja, sebaliknya harus diraikan dalam kepelbagaian pendekatan dan platform politik.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Rendy menyeru agar tidak ada mana-mana pihak meremehkan usaha wakil-wakil dari Sabah yang memilih untuk berjuang dalam parti-parti berpengkalan di Semenanjung Malaysia.
“Kami boleh perjuangkan hak Sabahan agar didengari dan dijamin dalam parti Malaya yang kami sertai. Sekiranya ada sedikit kejayaan, semua itu untuk kebaikan orang Sabah juga,” ujarnya sambil mengingatkan bahawa setiap individu dan ahli parti mempunyai peranan dalam memperjuangkan nasib rakyat negeri itu.
Rendy turut menegaskan peranan aktif pimpinan Parti Amanah Negara (AMANAH), khususnya Presidennya yang kini menerajui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), dalam menyalurkan peruntukan besar kepada Sabah.

Pada tahun 2024, Kerajaan Persekutuan meluluskan RM150 juta peruntukan khas untuk KPKM, dengan RM33.6 juta daripadanya disalurkan kepada Sabah—menjadikannya penerima tertinggi peruntukan tersebut. Dana ini merangkumi projek pembinaan 23 pusat pengumpulan hasil tani, kilang kopi, serta pemulihan sawah padi terbiar seluas lebih 500 hektar.
Selain itu, KPKM turut memperuntukkan RM15.5 juta untuk penyelenggaraan jalan pertanian, khususnya di kawasan jelapang padi Kota Belud, serta RM54.4 juta insentif khas kepada lebih 31,000 pesawah di seluruh Sabah.

Turut disebut ialah peranan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), yang dipengerusikan oleh Setiausaha Agung AMANAH, Tuan Haji Muhammad Faiz Fadzil. LKIM menyalurkan RM22 juta ke Sabah bagi tujuan Elaun Sara Hidup Nelayan, pembinaan jeti dan baik pulih 50 rumah nelayan.

Rendy menegaskan bahawa suara anak Sabah dalam AMANAH tidak pernah sunyi. Beliau sendiri telah menyuarakan isu-isu berkaitan negeri itu sejak memegang jawatan Ketua Pemuda AMANAH Sabah pada 2019, termasuk mengadakan pertemuan dengan menteri-menteri dan menyampaikan keperluan rakyat Sabah secara langsung ke peringkat tertinggi.
“Ketika Arwah Salahuddin Ayub masih menjawat Menteri KPDN, beliau datang ke Sabah hampir setiap bulan. Begitu juga SUA Amanah selaku Pengerusi LKIM yang hadir ke Sabah bertemu nelayan setiap bulan. Kepedulian mereka ke atas Sabah tidak boleh dinafikan,” katanya.
Mengakhiri kenyataan, Rendy menyeru agar semua pihak lebih inklusif dan tidak menolak usaha mana-mana individu yang jujur dalam memperjuangkan hak negeri Sabah.
“Tidak ada siapa yang mampu membantu negerinya melainkan mereka yang ikhlas dan jujur memperjuangkan hak Sabah. Maka biarlah kami mewakili rakyat Sabahan di dalam parti Malaya bersuara dan mendesak demi negeri ini,” tegas beliau.