Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan memulakan ucapan perbahasan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat dengan bertanyakan bilakah projek pembinaan sekolah di Taman Pelangi Semenyih akan siap. Kata beliau memandangkan Menteri Pendidikan ada di dalam dewan ketika beliau berucap sebagai pembahas terakhir, persoalan pembinaan sekolah ini dibangkitkan paling utama berbanding isu lain. Selain sekolah di Taman Pelangi Semenyih, Sany juga turut memohon jaminan kerajaan bilakah sekolah di Bandar Bukit Mahkota akan siap. Tambahan lagi, di Dusun Tua sebagai salah satu DUN dibawah Parlimen Hulu Langat memerlukan sebuah sekolah menengah baharu memandangkan sekolah yang sedia ada tidak mencukupi untuk menampung kepadatan penduduk disana.
Sany yang juga merupakan pemidato yang lantang sama ada di pentas ceramah mahupun di dewan mahu pelebaran jalan dilaksanakan antara Pekan Semenyih ke Pekan Bangi Lama bagi mengatasi kesesakan yang berlaku. Disamping itu, Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional itu juga mahu kerajaan mempertimbangkan pembinaan sebuah balai bomba di Dusun Tua memandangkan buat masa ini jika berlaku apa-apa kecemasan di Dusun Tua, masyarakat perlu menunggu bomba dari Balai Bomba Kajang atau Ampang.
Mengulas keadaan politik semasa, Sany membidas sesetengah pihak yang mengelarkan Belanjawan 2024 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sebagai belanjawan hipokrit. Kata beliau, dengan peruntukan tertinggi untuk sektor pendidikan dan kesihatan adakah itu tindakan hipokrit sedangkan rakyat menikmati manfaat dari kenaikan tersebut? Beliau menggelarkan Anwar yang juga Menteri Kewangan sebagai gila bekerja demi rakyat meskipun kesihatannya kurang baik. Malah pelaburan yang berjaya dibawa masuk berlipat kali ganda adalah komitmen jitu Pengerusi HARAPAN itu bersama pasukan Kerajaan Perpaduan. Oleh itu, Sany menyarankan agar pembangkang menghentikan sentimen tukar kerajaan, kerana ada tumpuan lebih utama harus diberikan perhatian oleh semua pihak temasuk rakyat iaitu memajukan negara. – SelangorToday