Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan berasa syukur dan mengucapkan terima kasih diatas pengumuman Perdana Menteri, Anwar Ibrahim jumaat lalu yang memaklumkan bahawa sebanyak 44 buah sekolah baharu bakal dibina mulai tahun depan.
Dalam pembentangan Belanjawan Madani 2025, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan menyatakan antara sekolah yang bakal dibina termasuklah Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Seri Putra (2) di Hulu Langat. Oleh yang demikian Sany menghargai pengumuman itu dan komitmen kerajaan dalam menyantuni suara warga Parlimen Hulu Langat.
Sany yang juga Pengarah Pilihan Raya Parti AMANAH berkata, dalam sesi perbahasan Belanjawan 2024 sebelum ini, beliau telah pun mengemukakan keluhan warga Parlimen Hulu Langat terkait dengan kesesakan dan kepadatan jumlah murid sekolah. Kawasan penempatan penduduk yang semakin bertambah di Hulu Langat menyebabkan sekolah sedia ada tidak dapat menampung pertambahan murid-murid.
Terdapat sekolah yang masih mempunyai hampir 50 orang murid sebuah kelas akibat jumlah kelas dan kapasiti sekolah yang tidak mencukupi. Maka pengumuman Perdana Menteri baru-baru ini sedikit sebanyak melegakan warga Hulu Langat.
Sany turut melihat peruntukan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia yang semakin meningkat dan tertinggi dalam sejarah belanjawan negara menunjukkan komitmen kerajaan MADANI dibawah Anwar Ibrahim dalam memastikan akses dan sistem pendidikan negara dapat dinikmati oleh semua rakyat Malaysia dengan selesa dan sempurna.
Dalam belanjawan tahun hadapan, kerajaan memperuntukkan RM64.1 bilion untuk Kementerian Pendidikan merangkumi RM2 bilion untuk menaik taraf sekolah daif di Sabah dan Sarawak, RM870 juta untuk Rancangan Makanan Tambahan(RMT), RM800 juta bagi Bantuan Awal Persekolahan(BAP) dan RM100 juta untuk baik pulih kantin dan surau sekolah.
Walau bagaimanapun, Timbalan Pengerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga(TEKUN) itu mengharapkan selain SMK Bandar Seri Putra(2), kerajaan MADANI mempertimbangkan untuk turut membina sebuah lagi sekolah baharu di kawasan Prima Saujana. Hal ini demikian kerana, kawasan tersebut juga sedang berada dalam keadaan kritikal dengan jumlah murid yang sesak dan semakin bertambah dari hari ke hari. – SelangorToday