Jalan yang dipilih oleh Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi lebih kurang 2 tahun lalu untuk bersama-sama menjayakan kerajaan perpaduan dibawah pimpinan Anwar Ibrahim dilihat banyak memberi peluang untuk UMNO bangkit semula selepas ditumbangkan pada tahun 2018.
Meskipun di separuh jalan penggal ke-14, UMNO juga menyertai kerajaan pimpinan Muhyiddin Md Yassin di bawah jalur Perikatan Nasional(PN), namun UMNO dilihat asing sebagai komponen kerajaan, malah pimpinan utama UMNO dilihat kritikal kepada dasar-dasar kerajaan. Hal ini demikian kerana, pimpinan utama BN khususnya UMNO tidak turut serta dalam kerajaan tersebut menyebabkan mereka juga berpendirian sebagai pembangkang buat kerajaan PN.
Akibatnya, UMNO dilihat gagal memulihkan kekuatan partinya dan lebih menumpukan kepada dilema yang mereka alami demi diangkat sebagai kerajaan semula. Justeru itu penggal ke-14 dianggap sebagai penggal yang getir dan mencabar buat BN khususnya UMNO. Manakala sekutu BN iaitu PAS dan BERSATU secara halus dan senyap meruntuhkan satu demi satu kubu UMNO.
Ini dapat dilihat apabila BN hanya mampu memenangi 30 kerusi sahaja pasca PRU le-15, manakala PAS dan BERSATU menggodol hampir 72 kerusi. Pun begitu, apabila kerajaan ‘Parlimen Tergantung’ berlaku, UMNO bersetuju dengan titah Tuanku Yang Dipertuan Agong serta terbuka bekerjasama dengan pimpinan PH khususnya. Dari situ dengan komposisi seorang Timbalan Perdana Menteri darinya, 6 orang menteri dan 6 orang timbalan menteri dalam kerajaan perpaduan, UMNO telah membolehkan parti mereka diperbaiki dan dipulihkan.
Semangat ahli UMNO diibaratkan sebagai semangat ketika UMNO memerintah secara solid satu ketika dahulu. Penyokong dan penggerak UMNO memulakan pelbagai program sebagai persediaan untuk menawan semula kerusi yang gagal mereka pertahankan sebelum ini. UMNO diperhatikan ghairah untuk menguasai semula arus politik negara melalui jambatan kerajaan perpaduan.
Adakah UMNO sudah kembali kuat? Apakah dengan keberadaan UMNO dalam kerajaan perpaduan, ia mampu mengisi semula kerusi yang pernah pengundi serahkan kepada PAS dan BERSATU? Mampukah UMNO mencatat jumlah kerusi yang banyak minimum 70 kerusi dalam PRU ke-16?
Berdasarkan keadaan semasa, UMNO memang telah berada di landasan yang tepat buat masa ini untuk bangkit dan kuat? Prestasi menteri daripada UMNO bukan kepalang lalu mendapat pujian yang membanggakan baik daripada masyarakat mahupun daripada Perdana Menteri sendiri. Walaupun begitu, sedarkah UMNO-BN bahawa wujudnya watak diluar kerajaan perpaduan yang mampu mendefisitkan semula kepercayaan rakyat kepada BN.
Akmal Salleh dianggap sebagai Ketua Pemuda UMNO tajaan kelompok anti-perpaduan. Ini kerana sentimen yang dimainkan oleh Akmal lebih cenderung kepada permusuhan kepada kerajaan perpaduan berbanding menembak lawannya. Sedangkan dalam keadaan sekarang, jika Akmal mahukan UMNO menguasai lebih banyak kerusi semula, sepatutnya Akmal tidak berlaga dengan rakan-rakan kerajaan perpaduan. Sebaliknya, memperkukuhkan kerjasama dengan kerajaan perpaduan.
Adapun Akmal yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka menganggap watak sebagai kelompok ekstrimis sama seperti PAS dan BERSATU memudahkan UMNO mendapat semula keyakinan pengundi. Hakikatnya, ia telah menjauhkan sokongan pengundi kepada BN.
Mana tidaknya, jika diperhatikan bahawa segmen pengundi semua komponen kerajaan perpaduan adalah berbeza-beza. Khususnya UMNO menumpukan kerusi melayu luar bandar dan separuh bandar. Manakala parti lain seperti KEADILAN, AMANAH, DAP, PBB, PGRS, UPKO dan lain-lain tidak merebut pengundi yang sama dengan UMNO.
Justeru itu, sepatutnya Akmal memperkukuhkan gambaran UMNO sebagai parti melayu yang berperanan dalam kerajaan perpaduan agar dilihat sebagai tempat berteduh orang melayu dalam kerajaan. Bersikap kritikal kepada kerajaan perpaduan hanya membuatkan UMNO-BN terus dilihat hilang arah tuju.
Meskipun jika Akmal mahu menggunakan strategi PAS dengan permainan kaum dan agama sebagai modal memangkin sokongan melayu Islam, harus diingat bahawa sentimen itu telah dikuasai dan dipelopori oleh PAS yang memungkinkan UMNO tidak mampu mengambil tempat PAS.
Seharusnya Akmal memancarkan UMNO sebagai parti melayu yang seiring dengan kerajaan perpaduan. Dibawah kerajaan perpaduan, UMNO mampu mengangkat taraf hidup melayu Islam, tidak hanya retorik seperti PAS. Dengan itu, pengundi melayu Islam mempunyi dua pilihan iaitu kekal dalam sentimen, atau berubah kepada pembangunan masyarakat melayu Islam melalui UMNO dalam kerajaan perpaduan.
Dari satu segi yang lain, pendirian Akmal sebenarnya mungkin memusnahkan BN menguasai kerusi yang lebih apabila MCA, MIC dan PBRS akan ditolak pengundi bukan melayu. Hanya kerana gaya permainan Akmal yang lebih keras kepada isu-isu kemalayuan dan Islam tanpa asas yang jelas, membuatkan pengundi bukan melayu akan terus menjauhi BN. Maka yang menerima tempias adalah MIC,MCA dan PBRS.
Kebetulan pula MCA dan MIC tiada dalam senarai kabinet Anwar Ibrahim, membuatkan dua parti komponen BN terlama selepas UMNO itu lemas dan cemas. Tambahan lagi, prestasi menteri daripada DAP seperti Anthony Loke, Gobind Singh, Steven Sim dan Nga Kor Ming yang membanggakan telah menghambat jauh pengundi bukan melayu kepada MIC dan MCA.
Oleh itu, sewajarnya Akmal sebagai pemimpin sayap kanan UMNO membawa UMNO bangkit daripada kelemasan terdahulu. Sebaliknya sikap dan gaya Akmal bermain politik telah menjauhkan pengundi kepada UMNO seterusnya membuatkan UMNO terus kempunan pada PRU akan datang.