SelangorToday

BN/PN GAGAL BENTANG BAJET PULIH EKONOMI, RAKYAT DISERU KELUAR MENGUNDI

ADUN Permatang Pasir, Faiz Fadzil mendakwa BN dan PN yang menerajui kepimpinan kerajaan Malaysia sekarang gagal membentangkan bajet yang mampu mengatasi masalah ekonomi yang melanda negara. Kata Faiz, bajet yang dibentangkan oleh calon ‘Poster Boy’ UMNO Selangor dalam PRU ke-15 iaitu Tengku Zafrul itu merupakan bajet paling gagal dalam sejarah memandangkan kerajaan mengumumkan perbelanjaaan paling tinggi iaitu RM372.3 billion, meningkat sebanyak RM40.2 billion berbanding tahun 2022. Sedangkan hasil yang bakal diperoleh kerajaan menguncup tahun hadapan. Tambah Faiz lagi, meskipun bajet yang dibentangkan kali ini jelas merupakan gula-gula Pilihan Raya, hakikatnya ia tidak mampu menyelesaikan masalah ekonomi dan memulihkan masalah perut rakyat.

Faiz Fadzil menempelak kegagalan BN/PN

Pengerusi Biro Pengguna, Tani dan Luar Bandar AMANAH Nasional itu berkata, walaupun bajet yang dibentangkan sia-sia setelah parlimen dibubarkan, namun ia menjadi indikator penting bahawa BN/PN gagal memahami aspirasi rakyat.  Malah, apabila kerajaan mengumumkan RM95 billion diperuntukan untuk perbelanjaan pembangunan, jumlah yang meningkat dua kali ganda itu tidak diiringi projek mega yang mempunyai kesan pengganda ekonomi yang tinggi untuk mempertahankan kedudukan ekonomi negara. Masalah akar umbi juga gagal ditangani oleh pihak BN/PN apabila tiada usaha konkrit untuk menyelesaikan masalah kos sara hidup, khususnya berkaitan inflasi makanan. Faiz membuktikan dengan menambah, subsidi telah dipotong lebih RM22 billion, peruntukan BKM kepada keluarga miskin juga dikurangkan kepada RM 7.8 billion daripada RM 8.2 billion.

Ada banyak hujah-hujah lain yang membuktikan bahawa BN/PN gagal membentangkan penyelesaian kepada masalah negara dan rakyat. Ramalan pakar-pakar politik dan tokoh berpengalaman menyatakan bahawa BN tidak mampu membentuk kerajaan bersendirian, maka BN dan PN perlu bekerjasama selepas PRU. Keadaan ini akan meneruskan ketidakstabilan yang berlaku hari ini seperti titah Yang Dipertuan Agong yang kecewa dengan keadaan politik semasa. Maka Faiz yang juga anak kepada bekas Presiden PAS itu yakin bahawa hanya HARAPAN sahaja yang mampu mendirikan sebuah kerajaan sendiri yang stabil seterusnya membentuk dasar yang benar-benar menyelesaikan masalah hidup rakyat. –Selangor Today

Exit mobile version