SHAH ALAM, 12 Nov – Setiausaha Agung Parti AMANAH Negara (AMANAH), Hj Muhammad Faiz Fadzil mengibaratkan peranan parti itu dalam arena politik tanah air seperti watak Abdul Wahub dalam filem klasik Tiga Abdul karya Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee.
Menurutnya, walaupun Abdul Wahub ialah anak bongsu, namun kebijaksanaannya telah berjaya mengubah nasib dan cara hidup abang-abangnya – satu perumpamaan yang menggambarkan bagaimana AMANAH, meskipun parti termuda dalam Pakatan Harapan (PH), tetap memainkan peranan besar dalam mencorak landskap politik negara.

“AMANAH ibarat Abdul Wahub, parti yang bongsu dan masih muda, tetapi dengan kebijaksanaan politik kepimpinannya, kita berjaya melakar sejarah politik yang baik dan bermanfaat untuk rakyat Malaysia melalui PRU 2018 dan PRU 2022,” ujar Faiz ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Konvensyen Nasional Parti AMANAH Negara baru-baru ini.
Tambah beliau, kejayaan AMANAH tidak hanya diukur melalui jumlah kerusi dimenangi, tetapi melalui sumbangan idea, strategi dan kematangan politik yang menjadi kunci kepada dua kemenangan besar Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 dan ke-15.
Dalam satu hantaran di media sosial, Faiz turut menegaskan bahawa kekuatan AMANAH perlu terus digerakkan melalui tumpuan terhadap tiga elemen penting atau “3M”.

“Dalam ucapan penggulungan saya tekankan bahawa walaupun AMANAH ini parti bongsu, ia diterajui kepimpinan yang bijak dan matang dalam strategi politik bagi memacu kemenangan PH dalam dua PRU. Saya tegaskan bahawa organisasi AMANAH kawasan perlu menumpukan 3M iaitu machinery dengan menambah kekuatan jentera, media dengan memperkuatkan penguasaan media sosial dan messaging dengan menumpukan input penting,” tulisnya.
Ucapan Faiz itu disambut positif oleh para perwakilan yang menganggapnya satu suntikan semangat baharu untuk memperkukuh peranan AMANAH sebagai parti Islam progresif yang matang dan berpandangan jauh dalam politik Malaysia.