Penjawat awam di Selangor akan menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) dua bulan gaji yang dibayar secara berperingkat.
Pengumuman berkenaan dibuat Menteri Besar Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2025 hari ini bagi menghargai komitmen dan usaha yang disumbangkan penjawat awam negeri itu dalam pembangunan negeri.
“Suka saya mengumumkan BKK yang akan dilaksanakan pada tahun ini adalah tambahan kepada BKK sebelum ini, iaitu pada 1 Feb lepas dan Aidilfitri baru-baru ini,” katanya.
“Ini meliputi pelbagai syarat (yang) telah kita tetapkan dengan satu bulan akan dibayar pada 31 Dis depan dan sebulan lagi akan dilunaskan pada 25 Mac tahun depan bersempena Aidilfitri.”
Dalam pada itu, Amirudin berkata, untuk keseluruhan tahun lepas, Selangor mencapai beberapa rekod membanggakan, termasuk menjadi negeri pertama merekodkan nilai ekonomi mencecah RM400 bilion.
“Tambahan kepada itu, nilai dan pungutan hasil melebihi sasaran dari tahun ke tahun meskipun melalui wabak Covid-19 yang menyaksikan kedudukan kewangan negeri turut meningkat sebanyak RM751 juta kepada RM4.36 bilion.
“Kesemua ini adalah hasil tekad, usaha dan komitmen seluruh pasukan, ketua jabatan, termasuk pegawai-pegawai di kesemua sembilan daerah merangkumi 12 pihak berkuasa tempatan,” katanya.