SelangorToday

BORHAN AJAK RAKYAT SEMAI CINTAKAN NEGARA, SEJARAH MELALUI BARANG ANTIK

Pandangan umum terhadap aktiviti mengumpul barangan antik dan bersejarah yang dianggap sekadar hobi mungkin boleh ditukar perspektifnya sebagai platform mendidik khususnya kepada generasi muda untuk menerapkan kesedaran serta memupuk perasaan cinta terhadap warisan dan sejarah negara.

Pandangan tersebutlah yang mendorong Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Tanjung Sepat Borhan Aman Shah, 60, untuk mengabadikan pelbagai koleksi barangan antik dan bersejarah di ruangan khas yang dijadikan galeri, di rumahnya yang terletak di Kampung Batu Laut, Kuala Langat di samping minatnya yang mendalam terhadap sejarah dan budaya negara.

ADN Tanjong Sepat Borhan Aman Shah 60 bergambar bersama basikal antik dan bersejarah yang disimpannya 

Galeri khas di sebelah rumahnya itu siap dibina pada 2019 menempatkan lebih 500 jenis barangan antik yang dikumpul sendiri oleh Borhan sejak zaman belianya dan ada yang berusia sehingga ratusan tahun.

 “Antara barangan yang paling lama adalah dulang tembaga yang dibeli pada tahun 1915, almari kayu cengal milik moyang saya berusia lebih 100 tahun, basikal bomba lama tahun 1959 yang masih lagi berfungsi sirennya dan pelbagai lagi. Pemilihan barangan adalah secara rambang dan tidak spesifik. Asal ada nilai dan cerita itu pun sudah cukup mahal.

“Contohnya saya ada simpan sehelai baju kain belacu yang kainnya diambil dan dijahit dari guni gandum (buntil) pada tahun 1950-an yang saya sangkut elok di galeri ini. Kerana cerita sebaliknya nak bagi tau bagaimana susahnya orang dahulu membuat pakaian, menggunakan apa yang mereka ada berbanding kini sehelai baju boleh dibeli di mana-mana,” katanya pada Bernama.

Anak jati Kampung Batu itu berkata kebanyakan barangan yang terdapat di galerinya dikumpul atau dibeli sendiri olehnya sejak 30 tahun dulu dan majoriti daripada koleksi itu diwarisi daripada keluarganya dan kebanyakannya masih lagi berfungsi dengan elok.

Menjelaskan banyak daripada barangan yang terdapat di galerinya hasil sumbangan individu tertentu, Borhan berkata seharusnya barangan yang mempunyai sejarah bagi sesebuah individu atau keluarga harus disimpan dan dijaga dengan elok agar dapat dipamerkan kepada anak cucu mereka di masa hadapan mengenai kejayaan yang digapai nenek moyang mereka dahulu.

Kewujudan galeri peribadi itu sebenarnya amat dekat dengan dirinya, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar, Kampung Tradisi, Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan dan Warisan Selangor yang merupakan individu yang bertanggungjawab mengawal selia institusi seperti muzium dan galeri.

 “Kerajaan negeri turut melancarkan sambutan peringkat negeri dengan tema #KitaSelangor, Teguh Bersama dan turut meraikan tema peringkat kebangsaan iaitu Keluarga Malaysia Teguh Bersama,” katanya.

Exit mobile version