 
                SERDANG, 11 Ogos — Ahli Dewan Negeri Seri Serdang, YB Abbas Azmi menegaskan bahawa budaya kerja yang berkualiti, inovatif, dan berintegriti adalah resipi penting dalam melahirkan generasi masa depan yang cemerlang.
Berucap ketika merasmikan Hari Anugerah Kualiti Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Perdana 2025 di AEON Mall Taman Equine hari ini, YB Abbas berkata pengiktirafan kepada warga pendidik dan pentadbir sekolah perlu menjadi inspirasi untuk terus memperkukuh mutu pendidikan.

“Dengan semangat kerjasama dan komitmen tinggi, kita mampu meningkatkan kualiti pendidikan di Petaling Perdana dan seterusnya di seluruh Selangor,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Pegawai Pendidikan Daerah Petaling Perdana, Puan Che Wan Rohani, serta semua sekolah penerima anugerah atas dedikasi dan pencapaian membanggakan.

Menurutnya, pendidikan berkualiti adalah asas kemajuan negara, dan majlis penghargaan seperti ini menjadi pemangkin untuk memperluas inovasi demi memastikan setiap anak mendapat peluang pembelajaran terbaik.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            