Buku yang mencatatkan perjalanan turun naik sayap pemuda bagi Parti AMANAH Negara diterbitkan sempena Konvensyen Pemuda AMANAH Nasional yang bakal diadakan 16 Disember ini. Buku yang bertajuk ‘Gelora Pemuda’ itu akan dijual di Grand Nexus Ballroom, Bangsar South Kuala Lumpur dimana tempat konvensyen Pemuda AMANAH diadakan. Melalui makluman penulis buku tersebut, Muammar Qaddafi Mohd Nasir , buku tersebut mempunyai 10 bab yang mencakupi pelbagai topik berkaitan Pemuda AMANAH Nasional. Ia bermula sejak ditubuhkan sebagai fasa pembinaan, konflik yang dihadapi pada tahun 2019 serta kesan Pemuda AMANAH Nasional daripada Langkah Sheraton.
Selain itu, buku ini juga menampilkan peranan yang dimainkan oleh sayap yang sedang diketuai oleh Senator Hasbie Muda itu dalam mendepani Pilihan Raya sejak 2018 dan 2022 sehinggalah kepada Pilihan Raya Enam Negeri Ogos lalu. Tambah Muammar, tujuan buku ini diterbitkan sebagai satu rujukan penting kepada generasi masa depan untuk mengetahui bagaimana Pemuda AMANAH ditubuhkan dan terus berdiri dalam arena politik massa. Ia juga menjadi peringatan kepada semua ahli akan penat lelah penubuhan Pemuda AMANAH supaya mengelakkan perpecahan sesama ahli hanya kerana mahu memenangi sebarang jawatan dalam pemilihan kali ini.
Buku yang berharga RM23.00 itu turut menampilkan tribute kepada bekas Ketua Pemuda AMANAH Nasional yang meninggal dunia ketika berjuang iaitu Almarhum Shazni Munir Mohd Ithnin. Muammar juga menyediakan ruang kepada latar belakang bekas Ketua dan Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional yang pertama, Sany Hamzan dan Faiz Fadzil selaku pelopor utama pembangunan Pemuda AMANAH Nasional. Akhirnya, Muammar menambah, seharusnya buku ini perlu dimiliki oleh semua ahli Pemuda bagi memastikan arus perjuangan yang kita bawa boleh diterjemahkan dalam gerak kerja berpandukan buku ini. – SelangorToday