Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 yang tertangguh selama beberapa bulan sedang berlangsung di Kuala Lumpur World Trade Centre (KLWTC) mulai 3 Jun hingga 12 Jun ini. Jualan buku secara besar-besaran itu sepatutnya diadakan sekitar bulan Februari atau Mac 2022, namun terpaksa dianjakkan pada bulan Jun untuk memberikan laluan kepada proses Vaksinasi Covid-19 secara mega disana. Penyertaan penerbit buku kali ini amat menggalakkan memandangkan ia tidak dilaksanakan selama dua tahun akibat Covid-19. Kali terakhir ia diadakan pada tahun 2019 ketika Pakatan Harapan masih memerintah.
Menariknya dalam pesta buku kali ini, banyak buku-buku yang ditulis oleh pimpinan AMANAH menghiasi gedung-gedung jualan buku. Sama ada tulisan pimpinan AMANAH berbentuk menjelaskan dasar dan pengalaman hidup mereka, pengalaman memimpin selama 22 bulan sebagai pembesar negeri dan negara serta tulisan sebelum PRU-14. Selain menjadi politikus, pimpinan AMANAH juga mempunyai bakat menulis yang luar biasa, kehebatan mereka menghuraikan fakta serta mengadunkan dengan inspirasi mereka kepada dunia realiti menjadi pengikat antara pembaca dengan mereka. Terbaharu, Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang, Hj Saari Sungib berjaya menerbitkan dua buah buku pengalamannya bermusafir di negara barat serta buku ‘Kembali Kepada Fitrah’. Beliau yang juga Ketua AMANAH Kawasan Gombak itu, telah menerbitkan berpuluh-puluh buku antaranya berkisar tentang jemaah Islam dan ISA.
Selain itu, mantan Menteri Agama Islam dalam pemerintahn PH berjaya menerbitkan buku ‘Membumikan Rahmatan Lil Alamin: 22 pentadbiran Islam di Putrajaya’ tahun lalu. Dalam buku tersebut, Dr. Mujahid Yusof Rawa yang juga Naib Presiden AMANAH menjelaskan prinsip yang beliau bawa ketika memimpin JAKIM dan agensi Agama Islam dibawah kerajaan pusat, serta menerangkan isu-isu kritikal ketika beliau menjadi menteri. Terdapat juga buku tulisan Pengerusi Biro, Kesenian, Kebudayaan dan Sukan AMANAH, Dr.Muhaimin Sulam yang menulis keadaan sebelum, semasa dan selepas Langkah Sheraton mengikut pandangan beliau sebagai seorang pencinta sastera dan sejarah bertajuk ‘ Menang Dan Terbuang’.
Buku-buku lain adalah seperti ‘Tekal Berjuang:Memori Anuar Tahir’ tulisan mantan Setiausaha Agung AMANAH, buku ‘Kleptokrasi Bukan Rahmat’ tulisan Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Faiz Fadzil. Ayuh datang beramai-ramai ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 di WTCKL sempena cuti sekolah yang telah pun tiba. Mari budayakan amalan membaca demi membangunkan sebuah generasi yang kritis dan maju.