SelangorToday

CABAR ENAKMEN SYARIAH:BEKAS PEGAWAI MENTERI AGAMA BIDAS SIKAP PURA-PURA PEMIMPIN PAS

Bekas Pegawai kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri(Hal Ehwal Agama) era Pakatan Harapan memerintah, Hisham Fauzi membidas sikap pura-pura pemimpin PAS dalam isu cabaran Nik Elin Zurina dan Kerajaan Negeri Kelantan. Beliau berkata pemimpin PAS menggembar-gemburkan isu cabaran terhadap beberapa seksyen dalam Enakmen Jenayah Syariah(1) Kelantan 2019 seolah-olah ia mula berlaku ketika era Kerajaan Perpaduan memerintah, sedangkan hakikatnya, cabaran ini telah mula diusulkan pada 20 Mei 2022 ketika dibawah pemerintahan PN.

Malah, terdapat 3 orang menteri daripada PAS menganggotai jemaah menteri pada tahun 2022, namun ketika itu ia tidak dimomokkan dengan cabaran ini sebagai kerajaan ketika itu gagal membela Islam. Tambah Hisham yang juga pimpinan AMANAH Kelantan, sepatutnya kes ini sedang dalam perbicaraan, maka wajar untuk semua pihak memberikan kepercayaan kepada institusi kehakiman membuat keputusan yang sepatutnya berbanding tindakan PAS yang menjaja isu ini dengan dakwaan  Kerajaan Perpaduan gagal membela Undang-Undang Syariah. Beliau menolak dakwaan pihak yang mengatakan bahawa kerajaan hari ini tidak membela undang-undang tersebut sedangkan kerajaan melalui Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan(MAWIP) telah pun memohon kepada mahkamah untuk mencelah dalam kes ini iaitu menjadi sahabat kepada mahkamah agar mahkamah mendapat pandangan dan hujahan yang jelas untuk membuat keputusan.

Sebaliknya, Hisham berkata PAS yang pernah diberi peluang memerintah selama 33 bulan tidak melakukan apa-apa untuk memperkasakan Undang-Undang Syariah di Malaysia. Hisham mengingatkan bahawa undang-undang merupakan satu perkara yang hidup yang sentiasa boleh ditambah baik dari hari ke hari melalui penggubalan undang-undang dan pindaan perlembagaan. Maka ruang sepatutnya diberikan kepada mahkamah agar proses ini berjalan sehingga selesai. Selepas itu, pertimbangan boleh dibuat oleh kerajaan untuk memastikan Undang-Undang Syariah terbela. – SelangorToday

Exit mobile version