SelangorToday

CALON HARAPAN DUN SUNGAI RAMAL TUMPU ISU SEKOLAH DI KAWASAN PADAT

Isu kekurangan sekolah akan terus diberi tumpuan penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal jika diberi mandat sekali lagi dalam pilihan raya negeri (PRN).

Mazwan Johar yang juga calon Pakatan Harapan (HARAPAN) berkata Alam Sari dan Bangi Avenue antara dua lokasi yang perlu diberi perhatian berikutan penduduk mencecah lebih 10,000 orang.

Berikutan masalah itu, beliau memaklumkan penduduk terpaksa menghantar anak ke sekolah jauh dari rumah dengan jarak lebih lima kilometer di sekitar Bandar Baru Bangi dan Kajang.

“Di sini kawasan padat penduduk dengan pembangunan pesat. Tapak sudah ada, kita akan terus usul dan usahakan supaya Kementerian Pendidikan segera turunkan dana untuk bina sekolah,” katanya.

Dalam pada itu, Mazwan berkata sejumlah RM250,000 dibelanjakan bagi membaik pulih dan menaik taraf kemudahan beberapa sekolah sejak menjadi wakil rakyat di DUN berkenaan.

Beliau turut memperuntuk sekitar RM100,000 sejak tahun lalu untuk sumbangan komputer riba bagi pelajar tingkatan enam dan mereka yang melanjutkan pengajian ke universiti.

DUN Sungai Ramal menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Mazwan dan Mohd Shafie Ngah dari Perikatan Nasional dalam PRN yang berlangsung pada 12 Ogos.

Dalam pilihan raya lalu, Mazwan meraih 24,591 undi menewaskan dua calon lain iaitu Nushi Mahfodz dari PAS dan Abdul Rahim Mohd Amin (Barisan Nasional).

Exit mobile version