Calon Kerajaan Perpaduan bagi pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu berazam menjaga hak semua kaum di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.
Pang Sock Tao berkata beliau mahu menjamin kesejahteraan setiap warga Kuala Kubu Bharu tanpa mengira latar belakang sekiranya terpilih sebagai wakil rakyat pada 11 Mei ini.
“Kalau saya menang, yang pertama saya mahu buat adalah menjamin kesejahteraan tidak kira agama, bangsa dan latar belakang termasuk juga masyarakat Orang Asal di sini.
“Saya juga mahu menjadi jambatan antara Kerajaan Negeri dan persekutuan untuk memperkasa hak dan kebajikan Orang Asal. Saya akan menjadi jambatan dan memperjuangkannya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program ramah mesra bersama masyarakat Orang Asal di Kampung Tun Razak di sini. Turut hadir Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Ramli Md Nor.
Pang Sock Tao, 31, merupakan calon Kerajaan Perpaduan bagi kerusi DUN KKB.
PRK DUN KKB diadakan susulan kematian peyandangnya Lee Kee Hiong akibat barah pada 21 Mac lalu.
Menyaksikan pertandingan empat penjuru, Sock Tao dicabar Khairul Azhari (Perikatan Nasional), Hafizah Zainudin dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas).
DUN tersebut mempunyai 40,226 pengundi terdiri 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang tidak hadir luar negara.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK KKB pada 11 Mei ini, hari pengundian awal 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari.
Sumber: SelangorKini