SelangorToday

CALON HARAPAN SG.BULOH YAKIN MENANG, GIAT KEMPEN SEHABIS BAIK

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Sungai Buloh yakin mampu mempertahan kerusi yang dimenangi gabungan itu pada 2018 meski berdepan saingan daripada Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Datuk R Ramanan menyifatkan kerusi itu kubu kuat HARAPAN, lebih-lebihnya lagi dua jentera dari dua Dewan Undangan Negeri sedia membantu sepanjang kempen.

Beliau menambah jentera kempen telah bersedia dengan sokongan pasukan daripada dua wakil rakyat dari Bukit Lanjan dan Kota Damansara, kedua-duanya dalam parlimen itu.

Calon HARAPAN Parlimen Sungai Buloh R Ramanan menyantuni penduduk Kampung Melayu Subang

“Sungai Buloh adalah kubu kuat kami, jadi kami memang yakin boleh mempertahan kerusi ini. Saya setuju dengan Khairy, dia ‘underdog’ di lapangan tetapi dari segi sosial media, sayalah underdog,” katanya selepas  menyerahkan borang penamaan calon di Dewan Kenanga, Pejabat Daerah dan Tanah Petaling di sini, semalam.

Selain Khairy dari Barisan Nasional, Ramanan berdepan saingan Mohd Ghazali Md Hamin (Perikatan Nasional), Mohd Akmal Mohd Yusof (Gerakan Tanah Air), Ahmad Jufliz Faiza (Parti Rakyat Malaysia) dan dua calon Bebas Syed Abdul Razak Syed Long Al Sagoff dan Nurhaslinda Basri.

Exit mobile version