SelangorToday

CHEF WAN TEGUR PENIAGA DAN PENGENDALI MAKANAN, TIMBA ILMU ELAK MAKANAN ROSAK

Selebriti terkemuka, Redzuawan bin Ismail atau Chef Wan menegur sikap peniaga makanan dalam pengurusan makanan yang melibatkan sanitasi dan kebersihan makanan. Kata beliau, kebanyakan peniaga makanan yang ada di negara kita tidak mempunyai pengetahuan yang lengkap untuk mengendalikan sesuatu makanan. Kurang pengetahuan dalam hal tersebut menyebabkan kualiti makanan yang dijual mungkin rendah seperti sudah basi dan rosak. Melalui video TikTok yang dimuat naik melalui laman rasmi majalah Maskulin dan Nona, Chef Wan sebagai tukang masak profesional bertaraf antarabangsa itu menjelaskan peniaga di Malaysia perlu memahami konteks cuaca di Malaysia yang panas dan lembab membolehkan bakteria membiak dengan lebih cepat jika makanan tidak disimpan mengikut kaedah sepatutnya.

Tambah beliau lagi, sikap peniaga yang ingin berjimat-cermat dengan mempunyai satu atau dua peti sejuk sahaja sedangkan pelbagai makanan yang perlu disimpan didalam peti sejuk menyebabkan tiada aliran udara yang berlaku. Suhu yang tidak mencukupi menyebabkan bakteria mereka berkali ganda cepatnya. Chef Wan juga seorang pelakon menyeru pengendali makanan di sekolah-sekolah untuk dihantar ke kursus pengendalian makanan melibatkan kursus sanitasi dan kebersihan. Kelulusan kursus tersebut disertakan sijil yang membolehkan mereka layak menjadi pengendali makanan di sekolah.

Pentingnya sijil tersebut, tambah Chef Wan ia merupakan satu syarat utama memandangkan makanan yang disediakan adalah untuk anak-anak sekolah yang ramai. Risiko keracunan perlu diminimakan dengan pengetahuan yang diperoleh. Di Amerika Syarikat dan United Kindom, Chef Wan menegaskan semua peniaga makanan perlu mendapat lesen yang sepatutnya berbeza dengan Malaysia yang sesiapa sahaja boleh berniaga makanan tanpa pengetahuan kendali makanan. – SelangorToday

Exit mobile version