Timbalan Menteri Pelaburan, Perdangan dan Industri, Liew Chin Tong menempelak dakwaan pembangkang bahawa jumlah dagangan eksport negara berkurang pada tahun 2023 berbanding tahun 2022. Melalui petikan di sosial media beliau, Chin Tong menjelaskan bahawa nilai dagangan eksport negara memang menurun 7.3%. Namun penurunan nilai tersebut bukanlah pengurangan jumlah dagangan eksport negara, sebaliknya penurunan nilai disebabkan oleh harga minyak sawit dan petroleum telah turun jika dibandingkan dengan harga pada tahun 2022. Beliau menambah, harga minyak sawit dan petroleum berada pada paras tertinggi untuk tahun 2022.
Hal ini demikian kerana, kata Setiausaha Organisasi DAP itu, kenaikan tersebut disebabkan oleh perang yang berlaku di Ukraine. Sebaliknya, pada tahun 2023, harga minyak sawit menurun sebanyak 28% manakala harga petroleum turun sebanyak 18%. Disebabkan berlaku kenaikan harga yang besar pada tahun 2022, penurunan harga minyak sawit dan petrolum pada tahun 2023 jelas kelihatan. Memandangkan minyak sawit dan petroleum merupakan dagangan eksport terbesar dan penting untuk Malaysia, perubahan ketara harga tersebut mempengaruhi nilai dagangan eksport negara yang jumlah dagangan eksportnya sama seperti sebelum-sebelum ini.
Sebagai strategi untuk mengurangkan situasi ini terus berlaku, tambah Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, Malaysia sedang menumpukan kepada usaha untuk mendapatkan pelaburan dlaam sektor-sektor yang berteknologi tinggi supaya ekonomi Malaysia lebih kompleks dan tidak bergantung kepada sektor komoditi. Kebergantungan kepada sektor komoditi adalah tidak baik memadangkan harga komoditi sentiasa dipengaruhi oleh pasaran antarabangsa. – SelangorToday