SelangorToday

CIKGU SAMAD HASHIM YAKIN MAMPU TINGKATKAN SEKTOR EKONOMI KREATIF DI SABAK

Calon HARAPAN DUN Sabak, Cikgu Samad Hashim berazam untuk meningkatkan keupayaan sektor ekonomi kreatif dan inovatif jika diberikan peluang sebagai ADUN dalam Pilihan Raya Negeri 12 Ogos ini. Bekas pendidik di SK Tok Khalifah dan bekas Penolong Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Sabak Bernam ini mahu membina jaringan ekosistem yang baik di Sabak bagi membolehkan aktiviti ekonomi setempat berjalan dengan baik serta mendatangkan pendapatan buat rakyat. Dalam masa yang sama, Cikgu Samad akan mempromosikan program-program latihan pemberdayaan untuk usahawan di Sabak bagi meningkatkan kapasiti perniagaan mereka yang lebih meluas.

Selain itu, Ketua AMANAH Kawasan Sabak Bernam ini juga berazam untuk meningkatkan kualiti infrastruktur yang ada di kawasan Sabak meliputi pembaikan rangkaian jalan raya, bekalan air yang berkualiti serta kemudahan-kemudahan lain. Sebagai kawasan pendalaman, pemerkasaan aspek kemudahan ini turut menjadi keutamaan Cikgu Samad. Beliau juga  akan memastikan keselamatan rakyat dipertingkatkan dengan kerjasama penguatkuasa termasuk meningkatkan kualiti kesihatan awam.

Dari aspek pertanian pula, sebagai tulang belakang ekonomi Sabak, Cikgu Samad akan memperkenalkan insentif dan bantuan kepada petani tempatan bagi menggalakkan pelaksanaan pertanian yang lestari, penggunaan teknologi moden serta meningkatkan peluang pasaran yang lebih meluas. Usaha ini akan memberi kesan baik kepada negara khususnya apabila dapat menambah pengeluaran makanan, mengurangkan import makanan dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak tempatan. – Selangor Today

Exit mobile version