SelangorToday

Cuaca panas dan kering: Selangor laksana 6 langkah pro-aktif kurangkan risiko

SHAH ALAM, 9 Feb – Kerajaan Negeri Selangor melaksanakan enam langkah pro-aktif bagi memastikan kesiapsiagaan sumber air negeri berada pada tahap optimum susulan jangkaan Monsun Barat Daya (MBD) yang dijangka bermula Mei hingga September 2026.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir. Izham Hashim berkata, langkah-langkah tersebut dilaksanakan melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bersama agensi berkaitan bagi mengekang risiko kekurangan bekalan air mentah serta pencemaran sumber air sepanjang tempoh cuaca panas dan kering.

Menurutnya, berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), MBD lazimnya dicirikan oleh kelembapan udara rendah dan taburan hujan yang berkurangan, sekali gus memberi kesan kepada paras empangan dan kawasan tadahan air.

“Walaupun kesan perubahan iklim telah mula dirasai dengan penurunan hujan di kawasan tadahan, Kerajaan Negeri sentiasa komited memastikan pengurusan sumber air berada pada tahap terbaik,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Izham berkata, antara langkah utama yang dilaksanakan ialah kawalan pelepasan air empangan secara berperingkat selaras dengan Seksyen 41 Enakmen LUAS 1999 bagi memastikan kapasiti takungan berada pada paras selamat sebelum memasuki musim kering.

Beliau memaklumkan, setakat 9 Februari 2026, semua empangan di Selangor berada dalam keadaan baik dengan Empangan Sungai Semenyih mencatat kapasiti penuh 100 peratus manakala empangan lain melebihi 74 peratus, yang mampu menampung keperluan sehingga enam bulan ke paras kritikal bergantung kepada keperluan Loji Rawatan Air (LRA).

Selain itu, pemantauan harian paras dan kapasiti empangan turut diperkasakan menerusi Integrated Water Resources Information Management System (IWRIMS) dengan kerjasama Air Selangor dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Sekiranya kapasiti empangan menurun ke paras 80 peratus, Operasi Pengepaman Air Kolam (OPAK) akan diaktifkan bagi menyalurkan sumber air alternatif sehingga 800 juta liter sehari ke Sungai Selangor,” jelasnya.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri turut mengoptimumkan pelaksanaan Selangor Off River Storage Scheme (SORSS) melibatkan lebih 140 kolam dan bekas lombong yang dinaik taraf sebagai simpanan air mentah tambahan, sejajar dengan Projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM).

Menurut Izham, gabungan empangan, SORSS dan SJAM dianggarkan mampu memastikan kesinambungan bekalan sumber air negeri sehingga sembilan bulan sepanjang MBD.

Langkah lain termasuk pengoptimuman penggunaan air bumi bagi sektor industri, pelaksanaan Zero Discharge Policy (ZDP) bagi mengurangkan pencemaran sumber air, serta pemantauan 24 jam oleh Skuad Elit Air LUAS di lembangan sungai utama negeri.

“Setakat ini, tiada sebarang insiden henti tugas LRA direkodkan akibat pencemaran sumber air dan Indeks Kualiti Air (IKA) sungai utama negeri berada pada tahap baik, iaitu Kelas II dan ke atas,” katanya.

Beliau menegaskan, Kerajaan Negeri Selangor yakin kesiapsiagaan sedia ada mencukupi bagi memastikan bekalan air terawat kepada penduduk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya tidak terjejas sepanjang tempoh Monsun Barat Daya.

Exit mobile version