SelangorToday

CUIT-CUIT | INTERPRETASI POLITIK JAMBAN DI MALAYSIA

Sejak Kerajaan Perpaduan membentuk pemerintahan di Malaysia, suasana politik bertambah meriah. Parti yang gagal membentuk kerajaan pusat seperti Perikatan Nasional(PN) seolah-oleh menerajui suasana tersebut kerana dikatakan mempunyai sokongan yang besar rakyat Melayu. Sebaliknya, Kerajaan Perpaduan yang dianggotai oleh HARAPAN, BN, GPS, GRS dan WARISAN serta beberapa parti komponen lain tidak mendapat sokongan rakyat.

Saban hari kita dipertontonkan dengan gelagat politikus Malaysia bersilat bagi mempertahankan sokongan masing-masing. PN ingin mengekalkan sokongan pra-matang yang mereka terima sehinggalah berjaya memerintah semula. PERPADUAN pula mempertahankan imej mereka sebagai kerajaan yang diberi kuasa dan tanggungjawab yang sah. Sehinggalah sentimen politik jamban menguasai seketika suasana politik.

Apabila sebut politik jamban, tiada siapa yang boleh menghuraikan secara tuntas dan jelas maksudnya. Malah tiada pakar pun yang berani membentuk sebuah hipotesis berkaitan politik jamban. Namun dengan menggambarkan keadaan politik dan suasana jamban yang sebenar, mungkin boleh menelurkan sebuah gambaran politik jamban.

Politik itu dipimpin atau dianuti oleh politikus. Manakala jamban adalah tempat manusia melepaskan sisanya. Mungkin apabila menyebut jamban, yang terlintas dalam fikiran adalah kotor, kelam, sempit dan berbauk busuk. Itu gambaran di Malaysia. Maka adakah takrifan politik jamban adalah pemain politik yang senantiasa menggunakan isu kotor, busuk dan kelam sebagai permainan mereka? Mungkin benar.

Hal ini disebabkan demikian kerana, adanya ahli politik Malaysia yang berjaya dinobatkan sebagai pencetus gelombang hanya dengan berkata kotor, busuk dan kelam dalam ceramah mereka. Malah dengan gaya tersebut, mereka berjaya memenangi kerusi yang banyak berbanding PRU sebelumnya. Ia menjadi kebanggaan rakyat disitu. Isitilah lucah, perlekeh dan fitnah menjadi kandungan gaya politik mereka sehingga berjaya menempatkan semua calon mereka dalam setiap negeri PRN lalu. Ertinya naratif politik jamban yang mereka bawa berjaya mendapatkan sokongan rakyat kepada mereka. Maka tidak salah kalau mereka meneruskan gaya jamban itu dalam siri PRK-PRK selepasnya.

Berbeza pula dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang bukan sekali, namun berkali-kali membuat kejutan dengan melihat sendiri keadaan jamban di sekolah-sekolah. Dengan keadaan cemas pentadbir sekolah, Anwar melihat sendiri betapa daifnya jamban yang ada di institusi pendidikan negara yang bermajoritikan orang Islam. Tekanan kewangan yang dihadapi menyebabkan pentadbir tidak mampu mengatasi kedaifan tersebut, maka Anwar selaku Menteri Kewangan meluluskan RM70,000 kepada KPM untuk menyelesaikan keadaan jamban sekolah yang rosak di seluruh negara.

Umum boleh berkata, tindakan Anwar itu hanya mahu meningkatkan popularitinya. Meskipun kebersihan itu dituntut dalam Islam, dan Anwar memperlihatkan isu sekecil ini menjadi penting kepada Kerajaan Perpaduan kerana ia akan memberi impak yang besar kepada generasi masa depan serta imej Islam itu sendiri. Pengerusi HARAPAN itu mempersembahkan satu politik jamban yang berbeza dengan politikus sebelum ini yang membawa imej jamban yang kotor, kelam dan busuk dalam permainannya. Sebaliknya bekas Menteri Pendidikan tahun 1986-1990 itu mengangkat status jamban sebagai penting dan wajah yang bersih dan wangi.

Kesan pembawakan politik jamban oleh kedua-dua politikus ini jelas berbeza kepada rakyat. Politikus yang kini menguasai satu negeri itu telah menyempitkan pemikiran rakyat dengan permainan politik jambannya, malah ia berjaya juga mengotorkan pemikiran rakyat khususnya generasi muda dengan istilah lucah. Watak riuh yang sebati dengan diri beliau bukanlah tiket untuk beliau boleh melakukan apa sahaja sedang beliau adalah pemimpin yang mampu mempengaruhi rakyat. Buruk gayanya, buruklah tauladannya untuk rakyat.

Adapun politik jamban yang Perdana Menteri ke-10 itu bawa memecahkan dogma persepsi rakyat bahawa jamban adalah kotor, busuk dan kelam. Anwar mencerahkan fahaman rakyat bahawa Islam menuntut kebersihan termasuk jamban. Malah kejayaan hakiki hidup kita adalah bermula dengan kebersihan jamban.

Satu ketika dikisahkan bahawa seorang pembesar negeri di pantai timur sering mencuci jamban yang ada disuraunya. Bila ditanya mengapa beliau memilih mencuci jamban sebagai tugasan beliau, beliau menjawab dengan mencuci jamban ia mampu menyikirkan perasaan riak, takbur dan sombong sebagai seorang pemimpin. Mencuci jamban akan merendahkan hati kita dan sentiasa mengakui bahawa segalanya adalah milik Allah SWT.

Guru-guru sekolah memuat naik hasil pengubahsuaian jamban sekolah dari peruntukan yang diluluskan oleh bekas pengasas sekolah Yayasan ANDA itu. Jelas membuktikan jamban sekolah rakyat mampu mencapai taraf 5 bintang jika ada pemimpin yang prihatin, memahami dan berilmu.

Inilah interprestasi politik jamban di Malaysia. Ada pro dan kontranya. Sebaliknya rakyatlah yang mempunyai akal fikiran untuk memilih politik jamban mana yang perlu disokong dan diteruskan.

Exit mobile version