SelangorToday

CUIT-CUIT | MADANI PASTI TAK LUPA ARTIS VETERAN KAN?

Gambar sekadar hiasan

Hampir setahun kerajaan perpaduan yang diketuai oleh Anwar Ibrahim ditubuhkan. Banyak segmen masyarakat dan aspek yang disentuh oleh kerajaan setelah Anwar sendiri memperkenalkan Membangun Malaysia MADANI sebagai gagasan baru yang melengkapi semua gagasan yang pernah dilontarkan oleh pimpinan negara sebelum-sebelum itu.

Dalam pengisian Malaysia MADANI, nilai Ihsan yang mengetengahkan amalan kasih sayang, keprihatinan dan kemanusiaan merupakan nilai yang paling unik dan tidak pernah diketengahkan oleh pimpinan sebelumnya. Nilai manusiawi menjadi teras kepada cara kerajaan menangani pelbagai perihal yang berbangkit dalam negara.

Pastinya Malaysia MADANI tidak ketinggalan untuk melihat nasib mahupun situasi yang dialami oleh artis veteran yang kini kelihatan berada dalam keadaan susah, sempit dan tidak pedulikan oleh pemain industri(erti kata tiada lagi tawaran berlakon). Mereka semua pernah mengukir nama Malaysia dengan karya dan aksi mereka dipentas seni. Malah mereka juga telah berada dipuncak populariti satu ketika dahulu. Mereka kini menjalani kehidupan sama seperti warga emas yang lain, sedangkan mereka anak seni. Mereka ketinggalan dari segi pencen dan perlindungan kesihatan berbanding warga emas lain yang dahulunya bukan anak seni.

Ini satu aspek yang boleh diperhatikan oleh kerajaan Malaysia MADANI. Mereka bukan mengemis atau meminta, tetapi cara mereka bekerja(anak seni) sejak dahulu perlu bekejar-kejar syarikat produksi untuk memilih mereka. Artis veteran ini ketinggalan beberapa aspek untuk berlumba dengan artis lain khususnya dari jumlah pengikut di Media Sosial dan keterampilan. Jumlah pengikut di Media Sosial bukanlah satu amalan dalam industri hiburan, tetapi ia seperti menjadi satu syarat wajib demi pulangan keuntungan syarikat produksi. Akhirnya artis veteran ini terus tidak ditawarkan kerja dan mungkin mengalami kesulitan kewangan.

Maka kerajaan yang memetingkan soal keihsanan ini melakukan tindakan dan anjakan yang sesuai agar golongan artis veteran kekal mendapat tempat dalam industri. Jika berat untuk melihat ia sebagai satu langkah kebajikan, anggap sahaja ia sebagai satu langkah kerajaan dan industri menghargai jasa dan karya mereka satu ketika dahulu.

Kerajaan harus berani membuat anjakan kepada industri seni sama seperti beraninya kerajaan menghapuskan subsisi puka, berusaha untuk menokhtahkan kemiskinan dan mengheret tokoh-tokoh besar ke muka pengadilan. Satu syarat boleh dikuatkuasakan kepada syarikat produksi untuk memberikan sekurang-kurangnya setiap karya mesti ditampilkan artis veteran melalui watak yang sesuai. Selain memberikan kelebihan kepada syarikat produksi yang sentiasa memberikan tawaran kepada arti-artis veteran.

Arusnya memang artis veteran tidak lagi popular, namun jika ruang diberikan dengan langkah penguatkuasaan agar mereka muncul di layar TV dan Perak, pasti reputasi mereka akan kembali gah. Asalkan ruang dan peluang diberikan kepada mereka. Buktinya jelas, apabila sebilangan artis veteran mendapat tempat di ruangan ‘live’ aplikasi TikTok. Mereka berinteraksi dengan ribuan penonton sambil mengimbau kenangan seni lalu. Ini bererti mereka tetap mempunyai pengikut, namun ditenggelamkan oleh syarat populariti medsos yang meminggirkan golongan artis veteran.

Ramai artis veteran termasuk Norlia Ghani, A.R. Badul dan beberapa anggota kumpulan lawak nombor satu negara SENARIO yang membuat ‘live’ di aplikasi TikTok. Bukannya sikit yang mengikutinya, hampir ribuan yang turut serta meskipun dibuat setiap hari. Jadi tiada nilaikah artis veteran kita?

Mereka dambakan karya-karya baik untuk ditawarkan kepada mereka. Misalnya, pelakon serba boleh Jalil Hamid, sering berkata, kurang tawaran yang beliau terima, malah ada tawaran yang diberikan tidak berbaloi dengan nilai yang dibayar. Sedangkan apa yang mereka bawa bukan populariti tetapi bakat seni yang pastinya tiada kepada tauke-tauke syarikat produksi. Jika boleh membayar artis setahun jagung yang serba kaku berlakon namun popular di Media Sosial dengan nilai yang tinggi, mengapa dengan artis veteran nilainya jauh lebih rendah?

Begitu juga dengan Salleh Yaacob yang pernah menjadi fenomena satu ketika dahulu, beliau akur dengan zaman kini dan tidak lagi berminat dengan dunia seni. Pastinya ia berpunca daripada sikap ‘double standard’ syarikat produksi yang meremehkan keberadaan artis veteran. Jika kerajaan mengusahakan sesuatu agar artis veteran kekal dalam industri seni, pastinya Salleh akan bersedia menerimanya. Jiwa seni pasti tetap mekar dalam diri jika industri menyebelahi mereka.

Aspek akhir yang boleh diberikan perhatian oleh kerajaan perlindungan kesihatan kepada mereka. Kebanyakkan mereka tiada simpanan duit kerana mereka tiada skim pencen atau insurans kesihatan ketika muda dahulu, maka langkah kerajaan menyantuni perihal ini akan menyerlahkan sifat keihsanan kerajaan kepada artis veteran sama seperti kerajaan memberi tumpuan kepada bekas atlet sukan.

Ada sesuatu yang didambakan oleh kerajaan untuk menyantuni kehidupan artis veteran supaya mereka tidak dilupakan dan berperanan dalam industri seni.

Exit mobile version