SelangorToday

CUIT-CUIT | SERVIS KUDA MALAYSIA MASIH GAGAL TUMBANGKAN LIBASAN THAILAND

HANGZHOU, 29 Sept -- Aksi pemain takraw dari Thailand pada perlawanan menentang Skuad Kebangsaan dalam acara Regu Berpasukan Lelaki Akhir Sukan Asia Hangzhou 2022 di Pusat Sukan Jinhua hari ini. Malaysia tewas 2-0 kepada pasukan Thailand. -- fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sukan Asia yang berlangsung di Hangzhou China telah pun melabuhkan tirainya. Selain Malaysia berjaya mencapai sasaran pingat yang telah disasarkan dalam edisi kali ini, beberapa peristiwa dramatik yang menyelebungi pencapaian atlet Malaysia turut diberi perhatian.

Penulis tertumpu kepada perkembangan skuad Sepaktakraw kebangsaan yang dilihat mempunyai nafas yang lebih segar setelah pasukan kejurulatihannya terdiri daripada orang yang berbeza daripada sebelumnya(yang memikul tugas jurulatih agak panjang) dan corak latihan yang berbeza.

Sebagai makluman sebelum skuad kebangsaan bertempur di China, mereka telah menjalani latihan intensif di Thailand. Suntikan semangat daripada Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia(PSM) dan seluruh penyokong sukan Sepaktakraw seolah-olah memberi sinar baharu buat skuad kebangsaan.

Hampir setiap hari akhbar tempatan meletakkan perkembangan skuad Sepaktakraw kebangsaan dihadapan berbanding sukan lain. Besar harapan rakyat Malaysia untuk melihat Malaysia kembali merampas pingat emas daripada Thailand.

Namun setelah berdepan dengan Thailand dalam acara berpasukan peringkat akhir. Malaysia masih belum cukup kuat untuk merempuh kesepaduan pasukan Sepaktakraw negara Gajah Putih itu. Ketiga-tiga regu yang diturunkan oleh Thailand tidak berjaya ditembusi oleh Malaysia dengan mata 0-2.

Begitu juga peluang kedua untuk membenamkan Thailand di peringkat akhir acara regu sekaligus menyumbang pingat emas buat negara juga menemui jalan buntu apabila Malaysia tewas kepada Thailand 2-0. Berbagai faktor yang dikemukakan termasuk isu teknikal penjaga garisan menatijahkan keputusan tersebut.

Apa yang boleh dilihat, Malaysia sememangnya mempunyai kekuatan tersendiri apabila tekong utama mereka Syahir Rosdi mempunya ‘sepak mula’ yang sangat berbisa. Ia diperkukuhkan lagi dengan kehadiran tekong junior Zarif Marican banyak membantu merapatkan jurang mata antara Malaysia dan Thailand.

Libasan Malaysia juga tidak kurang hebatnya apabila Azlan Alias, Khairol Zaman, Afifudin Razali dan Noraizat Nordin memperlihatkan aksi rejaman mereka yang mempunyai kualiti tersendiri. Namun apabila menoleh ke arah pasukan Thailand, mereka seolah-olah telah mempunyai kesepaduan yang jitu serta gerak serasi yang baik.

Kurangnya ketidakfahaman antara pemain Thailand mendorong mereka sentiasa mendahului Malaysia. Perubahan strategi dalam tempoh singkat mudah diadaptasi oleh pasukan Thailand, kesanya apabila Malaysia mula bergerak lebih pantas, Thailand memitas dengan strategi baharu dan kekal berada di hadapan.

Pemain kebangsaan bukanlah tidak serasi, malah mereka sering bergandingan dalam liga tempatan, namun beradaptasi dengan perubahan dengan lebih cepat tidak mampu dilakukan oleh mereka. Jelas, pemain Malaysia memang berkualiti, mereka ada prestasi yang baik. Namun tembok besar Thailand tidak mampu dirempuh akibat keupayaan Malaysia telah pun mencapai maksimum.

Penulis optimis kepada kenyataan salah seorang jurulatih kebangsaan bahawa sedikit masa lagi diperlukan untuk membolehkan Malaysia menumbangkan Thailand. Sebagai jurulatih, kenyataannya perlulah mendokong motivasi pemain agar terus berlatih. Tetapi kita tidak boleh berada pada tahap itu sahaja. Sebaliknya bukan setakat corak latihan sahaja perlu berubah, malah struktur pembangunan sukan Sepaktakraw itu juga perlu diolah.

Mungkin dalam tempoh 5 tahun lagi, pemain kebangsaan yang ada hari ini akan bersara sebagai pemain kebangsaan. Ketika itu adakah pasukan kebangsaan perlu melatih dari awal semula pemain junior mereka dengan corak latihan yang baharu? Jika itu berlaku, bilakah tempoh matang yang bakal dicapai oleh atlet tersebut sehingga berjaya menumbangkan Thailand?

Seharusnya proses kesinambungan antara pemain utama dan pemain pelapis serta bakat akar umbi telah diselaraskan sekarang. Ia bukan sekadar mengharapkan sekolah sukan melahirkan bakat di platform mereka. Tetapi lebih penting adalah mewujudkan program pembangunan khusus buat sukan sepaktakraw. Ia mesti merentas sekolah sukan, merentas negeri, merentas kaum, merentas kelas ekonomi dan lebih penting merentas pengaruh.

Apabila program pembangunan dilaksanakan secara melebar, tiada siapa yang akan tercicir. Dengan itu mereka yang benar-benar berpotensi tidak akan dilepaskan. Sementara itu, budaya sukan Sepaktakraw akan terus diarus-perdanakan semula bagi membentuk motivasi mereka yang masih muda untuk mencetuskan revolusi baru sukan Sepaktakraw.

Credit Gambar: Harian Metro

Fenomena raja libas dan servis kuda satu ketika dahulu benar-benar berjaya melahirkan lebih ramai bakat dalam sukan tradisi ini. Oleh itu, gelombang itu harus dicetuskan melalui satu akademi sukan Sepaktakraw yang berperanan lebih besar untuk merancakkan aktiviti pembangunan pemain selain menyusun pemain kebangsaan untuk membawa misi pingat emas. Itu adalah tugas sampingan bersama pasukan kejurulatihan. Sebaliknya peranan utama adalah program pembangunan yang berterusan.

Pemain yang ada pada masa ini perlu diberikan ruang untuk mereka terus mencuba sehabis baik. Namun program pembangunan menyeluruh harus dimulakan segera. Agar satu masa servis kuda Malaysia berjaya menumpaskan libasan Thailand.

Exit mobile version