Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, YB Danial Al-Rashid Haron menyatakan komitmennya untuk memperkukuh pembangunan e-sukan di Selangor sebagai salah satu ruang strategik membina bakat digital, kerjaya masa depan dan jati diri anak muda.
Beliau berkata, e-sukan kini bukan lagi sekadar hiburan atau trend semasa, sebaliknya telah berkembang menjadi satu industri besar yang menawarkan pelbagai peluang, termasuk dalam bidang teknologi, penyiaran, keusahawanan serta pembangunan komuniti.

“Saya sendiri tidak pernah mengikuti dunia e-sukan secara serius sebelum pertengahan 2024. Namun selepas menyaksikan sendiri kehangatan liga seperti MPL MY dan terlibat dalam pelbagai acara e-sukan, saya melihat potensi industri ini amat besar untuk dimanfaatkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Danial, keterlibatannya dalam arena e-sukan bermula selepas pertemuan bersama wakil industri menjelang MPL MY Musim Ke-13, sebelum beliau menghadiri perlawanan separuh akhir dan akhir di Johor. Sejak itu, beliau terus aktif menyertai pelbagai program berkaitan termasuk Malaysia Esports League (MEL), kejohanan Hotlink Uni Legend, eGames SUKMA Sarawak, dan Selangor Future Cup 2025 yang melibatkan penyertaan 64 sekolah menengah seluruh negeri.
“Saya lihat e-sukan ini membina lebih daripada kemahiran bermain — ia membentuk keyakinan diri, kerjasama pasukan, pemikiran strategik dan disiplin. Ini adalah nilai-nilai yang perlu diperkukuh dalam kalangan belia kita,” ujarnya.
Danial turut menzahirkan penghargaan kepada komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) yang aktif dalam e-sukan, menyifatkan mereka sebagai bukti bahawa kekangan fizikal tidak pernah menjadi penghalang untuk cemerlang dalam dunia digital.
Dalam masa sama, beliau turut menekankan kepentingan keseimbangan, khususnya kepada pelajar sekolah yang terlibat dalam sukan digital.

“Kejayaan dalam e-sukan tetap menuntut disiplin dan tanggungjawab. Pelajaran masih perlu menjadi keutamaan, dan kerjaya dalam e-sukan perlukan asas yang kukuh,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memberi jaminan akan terus menyokong usaha mana-mana pihak yang mahu membina ekosistem e-sukan di peringkat sekolah, komuniti mahupun negeri.
“Jika kita mahu lihat e-sukan menjadi industri masa depan, maka kita perlu menyediakannya dengan ekosistem yang tersusun, dasar yang progresif dan ruang yang inklusif,” tegas Danial.