Site icon SelangorToday

Danial bangkit isu akses OKU, laluan pejalan kaki menjelang LRT3

Danial

[DN Selangor] – Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron menggesa kerajaan negeri memperluaskan perkhidmatan kesihatan awam dengan menyediakan terapi pertuturan (speech therapy) di Klinik Selcare, khususnya bagi kanak-kanak berkeperluan khas.

Ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah diraja sempena pembukaan Sidang Dewan Negeri Selangor tahun ini, beliau menegaskan bahawa akses kepada terapi pertuturan masih terhad dan mahal di sektor swasta, sekali gus menyukarkan golongan yang memerlukan, terutama keluarga berpendapatan rendah.

Menurut beliau, usaha meningkatkan literasi dan numerasi dalam pendidikan perlu diseimbangkan dengan keperluan intervensi awal bagi kanak-kanak berkeperluan khas. Katanya, tumpuan berlebihan terhadap akademik tanpa sokongan asas perkembangan boleh menjejaskan potensi golongan tersebut.

“Kanak-kanak berkeperluan khas memerlukan intervensi awal dengan pakej sokongan yang menyeluruh sebelum diberi penekanan kepada pencapaian akademik,” katanya.

Danial yang juga Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Selangor berpandangan, penyediaan perkhidmatan terapi pertuturan di peringkat negeri mampu memperluaskan akses kepada golongan B40, di samping memperkukuh komitmen Selangor dalam menyediakan sistem kesihatan yang inklusif.

Dalam perkembangan sama, beliau turut membangkitkan isu kesiapsiagaan pihak berkuasa tempatan (PBT) menjelang pengoperasian LRT3, khususnya berkaitan aspek first and last mile connectivity.

Beliau mempersoalkan sama ada kemudahan seperti laluan pejalan kaki, akses mesra orang kurang upaya (OKU), perkhidmatan bas pengantara serta integrasi pembangunan setempat telah dirancang secara menyeluruh.

“Keberkesanan LRT3 tidak hanya bergantung kepada pembinaan rel, tetapi juga kepada sistem sokongan yang memastikan rakyat benar-benar dapat menggunakannya,” ujarnya.

Tambah beliau, perancangan yang rapi dan menyeluruh amat penting bagi memastikan pelaburan besar dalam infrastruktur pengangkutan awam itu memberi manfaat maksimum kepada rakyat.

Exit mobile version