SelangorToday

DANIAL CADANG BANGUNKAN SEMULA KAWASAN PENEMPATAN LAMA DI BATU TIGA

Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga tekad mahu menumpukan kepada pembangunan semula kawasan itu terutama melibatkan kawasan penempatan yang berusia lebih 40 tahun.

Danial Al-Rashid Haron bagaimanapun berkata cadangan tersebut wajar dipertimbangkan bagi memberi keselesaan kepada penghuni memandangkan DUN tersebut terletak di dalam bandar raya Shah Alam.

“Saya akan mengadakan sesi perbincangan dengan beberapa pihak berkaitan. Ada beberapa perkara perlu dibuat di DUN Batu Tiga antaranya adalah pembangunan semula selain meningkatkan kemudahan asas.

“Penumpuan kita adalah untuk membangunkan semula kawasan penempatan yang lebih 30,40 tahun, jika tidak dibangunkan semula keadaan rumah yang semakin teruk akan mengakibatkan kos penyelenggaraan yang jauh lebih tinggi,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda HARAPAN Selangor berkata demikian ketika ditemui di Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga di Pangsapuri Alam Prima di sini.

Danial Al-Rashid menang dengan majoriti 3,382 apabila memperoleh 29,064 undi, menewaskan dua pencabarnya Datuk Seri Rina Harun daripada Perikatan Nasional (PN) yang meraih 25,682 undi dan Cheda Razak daripada MUDA 1,908 undi.

Sebelum ini, DUN Batu Tiga disandang oleh Rodziah Ismail yang kini ahli parlimen Ampang.

Exit mobile version