SelangorToday

DANIAL CADANG SELANGOR SEDIA SISTEM SOKONGAN BUAT KELUARGA OKU

Ahli Dewan Negeri Selangor(ADN) Batu Tiga, Danial Al-Rashid Harun mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk menyediakan sistem sokongan buat keluarga yang mempunyai anak golongan Orang Kurang Upaya(OKU) di Selangor. Kata beliau, beberapa faktor perlu diberikan perhatian oleh kerajaan negeri memandangkan keluarga yang mempunyai anak OKU memainkan peranan penting dalam kelangsungan anak mereka yang istimewa. Tambah Danial, dapatan yang diperoleh melalui kajian yang dijalankan oleh Profesor Dr. Wan Puspa Melati dari Taylors University dengan kerjasama Persatuan Sindrom Prader-Willi Malaysia mengenalpasti tiga perkara utama yang perlu diberikan perhatian.

Ketua Pemuda AMANAH Selangor itu ketika berucap dalam sesi perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama di Dewan Negeri Selangor sebentar tadi berkata, perkara pertama adalah sistem sokongan psikologi, sosial dan ekonomi kepada keluarga yang mempunyai anak OKU. Tekanan daripada andaian bahawa mereka gagal dan tidak sempurna ketika menjaga anak OKU ini menjadi faktor kepada keluarga tersebut. Maka Danial mencadangkan kerajaan negeri menyediakan khidmat kaunseling kepada keluarga OKU. Bantuan kewangan untuk meringankan keluarga OKU juga wajar dipertimbangkan selain menyediakan bengkel dan latihan kemahiran asas bagi mengurus anak OKU.

Danial yang juga Pengerusi Majlis Tindakan OKU Selangor(MTOS) itu melihat aspek mengurus keletihan bagi keluarga OKU amat penting. Tiada masa rehat yang mencukupi serta mempunyai rasa kurang sokongan boleh memberi kesan negatif kepada fasa penjagaan anak OKU. Oleh itu, beliau mencadangkan kerajaan negeri menyediakan perkhidmatan bantuan penjagaan sementara untuk memberi peluang kepada penjaga berehat. Kerajaan negeri juga dicadang menyediakan program sokongan komuniti yang boleh menyediakan ruang untuk penjaga bertukar-tukar pandangan berkaitan penjagaan anak OKU. – SelangorToday

Exit mobile version