SelangorToday

DANIAL, CALON HARAPAN MAHU BINA SEMULA BATU 3 JADI BANDAR DAYA HUNI

Kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu 3 perlu dibina semula bagi menjadikan ia sebagai sebuah bandar dengan daya huni yang boleh dirasai oleh semua pihak.

Calon Pakatan Harapan (PH) DUN Batu 3, Danial Al Rashid Haron berkata, untuk merealisasikan impian itu, kawasan berkenaan perlu mendapatkan sentuhan daripada perancang bandar yang berpengalaman.

Menurutnya, Batu 3 boleh dibangunkan dengan baik kerana ia berada di dalam salah satu DUN di Parlimen Shah Alam yang merupakan ibu negeri Selangor.

“Kebanyakan pembangunan di kawasan ini (Batu 3) terutamanya pangsapuri kos rendah yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sudah melebihi 30 tahun dan sudah tiba masanya kita lakukan pembangunan semula.

“Hal ini kerana, konsep bangunan di Seksyen 16 sudah tidak relevan pada ketika ini kerana pangsapurinya hanya memiliki satu atau dua bilik sahaja. Oleh sebab itu saya merasakan, pembinaan semula bagi kawasan perumahan perlu dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Sinar Live bertajuk Tidak Gentar Lawan Calon ‘Heavyweight’ yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa.

Exit mobile version