SHAH ALAM, 12 Ogos – Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron menyeru rakyat Selangor untuk memanfaatkan sepenuhnya program Selangor Saring sebagai langkah proaktif menjaga kesihatan diri dan keluarga.
Menurut beliau, program anjuran Kerajaan Negeri Selangor itu bukan sahaja memberi peluang kepada masyarakat untuk mengesan masalah kesihatan lebih awal, malah turut membantu mereka merancang langkah pencegahan.
“Ada orang rasa sihat, tapi bila buat saringan baru sedar ada masalah. Sebab itu penting untuk kita buat pemeriksaan berkala, walaupun tiada tanda sakit,” katanya ketika ditemui pada program Selangor Saring di Dewan Beringin, Shah Alam.

Ketua Pemuda AMANAH Selangor itu menegaskan, kesedaran masyarakat terhadap tahap kesihatan masing-masing mampu mengelakkan penyakit berisiko tinggi dan memastikan kualiti hidup yang lebih baik.
“Kalau kita tahu tahap kesihatan, kita boleh mula jaga makan, ambil ubat atau buat rawatan awal. Kesihatan yang baik akan menjadikan keluarga lebih ceria dan kehidupan berjalan lancar,” ujarnya.
Program yang telah diadakan Sabtu lalu di DUN Batu Tiga menyasarkan penyertaan sekitar 300 penduduk setempat bagi menjalani pemeriksaan kesihatan percuma di bawah inisiatif Iltizam Selangor Penyayang.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur dan petugas kesihatan yang menjayakan program tersebut.
“Ambil peluang ini untuk hadir dan buat pemeriksaan. Kesihatan itu amanah, dan langkah pencegahan jauh lebih baik daripada rawatan,” katanya.
Selangor Saring dilaksanakan secara berkala di pelbagai lokasi seluruh negeri, dengan pemeriksaan kesihatan percuma untuk penyakit tidak berjangkit, kesihatan mental, mata, dan pelbagai ujian saringan lain.