Data yang diperoleh melalui Jabatan Perangkaan Negara menujukkan sebanyak 5.8% daripada 32 juta populasi rakyat Malaysia tidak bersekolah atau tercicir daripada sistem pendidikan negara. Lebih malang lagi, sebahagian 72.1% rakyat Malaysia memilih untuk tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan secara purata rakyat Malaysia hanya menghabiskan persekolahan sehingga tingkatan 4 sahaja atau umur 16 tahun. Data-data yang disebut amat membimbangkan kerana ia mampu menganggu kualiti produktiviti negara. Oleh itu, Danial Al Rashid Harun selaku Ketua Pemuda AMANAH Selangor mendesak agar kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia(KPM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mencari jalan menangani masalah ini.
Danial yang juga pimpinan Jawatankuasa Pemuda AMANAH Nasional berkata, beliau berpandangan gejala yang berlaku akan menjejaskan penghasilan kualiti tenaga kerja yang memberi kesan kepada produktiviti negara apabila peluang kerja khususnya bidang berkemahiran tinggi tidak mampu diisi oleh anak muda tempatan. Data-data yang diumumkan oleh KPM di parlimen juga amat membimbangkan apabila 21,316 murid telah berhenti sekolah sejak dua tahun yang lalu, manakala 24,941 calon tidak menduduki peperiksaan SPM. Seharusnya kerajaan sudah mula melakukan proses pengenalpastian mengapa gejala ini berlaku.
Tambah Danial, jika faktor kemiskinan dan ketidakupayaan ibubapa untuk menghantar anak mereka ke sekolah menjadi punca, kerajaan tidak harus membiarkan ianya berlaku tanpa penyelesaian. Selain itu, beliau juga mahu kerajaan memberikan perhatian kepada tarikan dalam sektor ekonomi gig yang menjadi kegilaan anak muda ketika ini sehingga tidak lagi berminat meneruskan pembelajaran ke peringkat lebih tinggi. Danial memberi amaran yang kerajaan bertindak segera dan beliau tidak mahu amaran-amaran yang diberikan oleh UNESCO dan Bank Dunia yang menyatakan akan berlaku keciciran besar jika isu ‘lost generation’ tidak diatasi akan menjadi kenyataan. –Selangor Today