[DN Selangor] 19 Nov – Pembangunan tenaga kerja masa depan dan penyediaan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap menjadi fokus utama perbahasan Belanjawan Selangor 2026 oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa Selangor Career Outreach Programme (SCOUT) merupakan inisiatif yang membuktikan kerajaan negeri memahami realiti pasaran kerja dengan menghubungkan graduan, pelajar dan industri secara langsung.
Menurut Danial, prestasi pelaburan Selangor yang mencatat 948 projek pelaburan dan menghasilkan 31,898 peluang pekerjaan baharu bagi tempoh Januari hingga Jun 2025 menjadikan negeri itu antara yang paling kompetitif dalam menarik tenaga kerja muda.
Beliau mencadangkan supaya SCOUT diperkukuh dengan beberapa langkah strategik:
- memperluas program ke sektor Digital, Kenderaan Elektrik (EV), Kecerdasan Buatan (AI), Dron dan Automasi,
- mewujudkan Automated Job-Matching System menerusi pembinaan Selangor Talent Database,
- meluaskan fokus pekerjaan merangkumi bakat low-skill dan high-skill.
“Ekonomi berteknologi tinggi memerlukan tenaga kerja yang bersedia lebih awal. Selangor masih berdepan kekurangan pekerja mahir, ketidakpadanan kemahiran dan jurang dalam sektor teknologi tinggi,” katanya.
Beliau turut merujuk kepada Pelan Strategik Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia 2021–2025 yang menekankan kepentingan pembangunan kompetensi tenaga kerja serta penyelarasan industri dan teknologi sebagai pemacu masa depan. “Selangor boleh dan harus memimpin gelombang ini melalui SCOUT,” tegasnya.

Beralih kepada isu mobiliti, Danial menyokong peluasan Bas Smart Selangor dan Demand Responsive Transit (DRT) sebagai penyelesaian penting dalam meningkatkan akses first-mile dan last-mile serta mengurangkan kebergantungan rakyat kepada motosikal yang berisiko dan membebankan kos sara hidup.
Beliau meminta penjelasan mengenai perancangan pelaksanaan DRT dan mencadangkan perluasan perkhidmatan ke kawasan berikut:
- Shah Alam
- Subang
- Klang
- Sijangkang, Rawang dan Sepang – kawasan luar bandar padat pekerja industri baharu.
“Kesibukan bandar hari ini menunjukkan kapasiti jalan raya Selangor hampir mencapai tahap maksimum. Ini memerlukan roadmap mobiliti jangka pendek dan jangka panjang untuk mengatasi kesesakan lalu lintas,” katanya.
Danial menegaskan bahawa produktiviti rakyat Selangor bukan hanya bergantung kepada peluang pekerjaan yang berkualiti, tetapi juga kecekapan sistem pengangkutan awam yang