SelangorToday

DANIAL MOHON KPM PERKASA SISTEM PENDOKUMENTASIAN ELAK GURU TERBEBAN

Ketua Angkatan Muda HARAPAN Selangor, Danial Al-Rashid Harun memohon kepada Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memperhalusi semula masalah sistem pangkalan data yang menjadi masalah kepada kebanyakan guru-guru di Malaysia. Melalui sebuah kenyataan media yang dikeluarkan, Danial menegaskan bahawa sekarang merupakan tempoh yang kritikal buat guru memandangkan ketika ini seluruh guru di Malaysia, sedang bertungkus-lumus mengisi data pemarkahan murid sekolah. Namun sistem pangkalan data yang sedang digunakan mengalami ‘breakdown’ dan data yang sedia ada diisi sebelum ini hilang. Ini menyebabkan guru keletihan dan mengalami kelelahan yang amat sangat. Maka Danial memohon agar sistem yang digunakan mestilah mempunyai ketahanan dan kualiti yang tinggi bagi mengelakkan guru perlu melakukan kerja berulang kali.

Danial Al-Rashid Harun, Ketua Angkatan Muda HARAPAN Selangor

Danial yang juga Ketua Pemuda AMANAH Selangor menambah, Malaysia tidak dapat lari daripada melaksanakan sistem pendokumentasian memandangkan pendidikan negara menuju pendigitalan. Namun ia mestilah tidak membebankan guru sehingga menyebabkan fungsi utama guru tidak dapat dijalankan dengan sempurna. Dalam masa yang sama, Danial menyeru agar bebanan tugas guru dilihat semula dan dikemaskini seiring peredaran zaman. Kenyataan media Danial dikaitkan dengan keluhan guru Malaysia melibatkan pengisian SPPB sehingga terpaksa ditangguhkan oleh Menteri Pendidikan beberapa jam selepas keluhan guru tersebar luas.

Selain itu, Danial menyenaraikan fungsi utama guru-guru yang dirujuk daripada Deskripsi Tugas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan 2016. Antaranya pemudahcara pembelajaran dan pentaksiran, pembangun dan pelaksanaan kokurikulum serta pelibatan dalam pembelajaran profesional. Selain itu, pembentuk  jalinan dan jaringan kolaboratif dengan ibu bapa, komuniti di dalam dan Luar sekolah serta pengurusan KPM. – Selangor Today

Exit mobile version