 
                SELAYANG, 24 Ogos — Ketua Pemuda AMANAH Selangor, Danial Al-Rashid Haron, menyeru seluruh jentera Pemuda AMANAH untuk bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang dijangka berlangsung selewat-lewatnya tahun 2027.
Beliau menegaskan bahawa Pemuda AMANAH perlu tampil sebagai suara segar, progresif, dan berani dalam mendepani cabaran anak muda masa kini, termasuk isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan, pendidikan dan ancaman budaya politik kebencian di media sosial.

“Misi kita jelas — mempertahankan Kerajaan Perpaduan di Selangor dan Putrajaya. AMANAH mesti menawarkan politik harapan, politik nilai dan politik khidmat, bukannya politik ketakutan atau kepentingan diri,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Konvensyen Pemuda AMANAH Selangor 2025 semalam.
Mengulas landskap politik semasa, Danial berkata Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijadualkan November ini bakal menjadi kayu ukur keampuhan Kerajaan Perpaduan, sekaligus memberi isyarat penting kepada perjalanan menuju PRU16.
Sehubungan itu, beliau menggesa Pemuda AMANAH Selangor di setiap kawasan membentuk Kumpulan 10 dan Kumpulan 20 bagi menyantuni anak muda serta pelajar prauniversiti, selain menggerakkan program kebeliaan melalui saluran peruntukan yang tersedia.
Danial turut menekankan konsep “1 Hati” sebagai asas kekuatan Pemuda AMANAH Selangor, yang menurutnya lahir daripada kesatuan hati dan keikhlasan berjuang tanpa mengira jawatan atau pangkat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga serta Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional turut mengenang pengorbanan jentera Pemuda AMANAH Selangor yang hadir tanpa henti membantu kempennya ketika pertama kali bertanding di DUN Batu Tiga.
“Sepuluh tahun lalu kita hanya bermula dengan harapan kecil. Hari ini AMANAH sudah menjadi sebahagian arus perdana politik tanah air. Kita jangan hilang fokus dan jangan berpecah kerana perbezaan kecil,” ujarnya.
Menutup ucapannya, Danial mengajak seluruh ahli Pemuda AMANAH untuk terus berpegang pada semangat “1 Dekad membina, 1 Hati menyatu, dan 1 Misi membawa kita ke hadapan.”
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            