SelangorToday

Danial Sokong Usaha Selangor Olah Kilang Haram Dari Liabiliti Menjadi Hasil

SHAH ALAM, 7 Julai 2025 – [DN Selangor] Penubuhan Kumpulan Wang Amanah Kilang Tanpa Kebenaran (KTK) disifatkan sebagai satu langkah yang wajar dan amat diperlukan dalam usaha menyelesaikan pelbagai isu yang timbul akibat kewujudan kilang-kilang yang beroperasi tanpa kebenaran di negeri Selangor.

Dalam sesi perbahasan di Dewan Negeri Selangor hari ini, Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, YB Danial Al-Rashid Haron menegaskan bahawa kumpulan wang khas ini mampu menjadi pemangkin kepada penyelesaian menyeluruh terhadap masalah pencemaran, kelemahan penguatkuasaan serta ketidakseimbangan perancangan pembangunan.

“Masalah utama seperti pembuangan sisa industri secara haram dan pencemaran sungai oleh kilang tanpa lesen memberi kesan langsung kepada kesihatan awam dan keselamatan alam sekitar. Penubuhan kumpulan wang ini boleh membiayai sistem pengurusan sisa yang lebih baik serta memperkukuh kempen kesedaran dan penguatkuasaan terhadap pencemaran alam sekitar,” ujar beliau.

Menurutnya, dana tersebut juga boleh digunakan untuk menyokong rombakan Rancangan Tempatan (RT) oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) agar lebih selari dengan usaha pemutihan kilang-kilang tanpa kebenaran.

“Rancangan Tempatan yang lebih teratur akan membantu menangani masalah ketidakseimbangan dalam perancangan bandar dan memastikan pembangunan yang lebih mampan dengan kemudahan awam yang terancang,” katanya.

KK. SHAM/The Star

Selain itu, kumpulan wang ini berperanan penting dalam membantu keperluan teknikal penjawat awam, termasuk kos sumber manusia, peralatan, sewaan jentera serta khidmat perunding pembangunan yang diperlukan untuk mengurus, memantau dan menguatkuasakan operasi kilang yang telah diputihkan mahupun yang masih belum berlesen.

Danial Al-Rashid menegaskan bahawa melalui penubuhan kumpulan wang ini, Selangor bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah kilang tanpa kebenaran secara lebih tersusun, tetapi juga dapat meningkatkan kecekapan pentadbiran dalam sektor perindustrian dan memperkukuh tadbir urus alam sekitar negeri.

Exit mobile version