SelangorToday

DANIAL UCAP SELAMAT MAJU JAYA KEPADA PESERTA PLKN, TERUS MELANGKAH MAJU

Ketua Pemuda AMANAH Selangor, Danial Al-Rashid Harun mengucapkan selamat maju jaya kepada semua peserta Pusat Latihan Khidmat Negara 3.0 bagi siri pertama tahun 2025. Dalam satu hantara yang dimuat naik melalui sosial media beliau, Danial teruja dengan kesediaan peserta PLKN menyertai program tersebut secara sukarela.

Kata Ahli Dewan Negeri Batu Tiga itu, program seumpama itu penting dalam membentuk jati diri, semangat patriotisme dan daya tahan generasi muda. Beliau percaya melalui latihan fizikal, disiplin dan nilai-nilai kebangsaan, peserta akan dilengkapkan dengan kemahiran dan pengalaman yang dapat mereka gunakan dalam kehidupan seharian. Pastinya dengan pendedahan yang mereka peroleh itu mampu dijadikan sebagai satu sumbangan kepada masyarakat kelak.

Danial turut memetik program tersebut turut dilaksanakan di Korea Selatan dan Singapura. Justeru Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional itu menjelaskan bahawa program tersebut terbukti memberi kesan dalam melahirkan warganegara yang cekal, bertanggungjawab dan bersedia menghadapi cabaran global.

Sementara itu menurut Kementerian Pertahanan,  sepanjang program PLKN 3.0, pelatih akan diberikan pendedahan terhadap latihan fizikal, mental dan sivik iaitu modul-modul latihan mengintegrasikan 70 peratus Latihan Asas Ketenteraan dan 30 peratus Komponen Kenegaraan.

Bagi modul Latihan Asas Ketenteraan, para pelatih akan dilengkapkan dengan kemahiran asas ketenteraan, dasar keselamatan negara, asas kesejahteraan hidup Malaysia Madani dan kemahiran kepimpinan. Manakala modul Komponen Kenegaraan akan mendedahkan pelatih dengan latihan tentang elemen jati diri, patriotisme dan memperkukuh perpaduan.

Akhirnya, Danial turut berkata usaha melaksanakan program PLKN ini selari dengan visi Malaysia MADANI untuk membina sebuah masyarakat yang berdaya saing, berilmu dan harmoni. – SelangorToday

Exit mobile version