Beberapa hari kebelakangan ini, Parti Tindakan Demokratik(DAP) menjadi perhatian umum setelah Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yew tidak menyertai pertandingan bagi menempatkan diri dalam Ahli Jawatankuasa DAP Negeri yang bakal diadakan tidak lama lagi. Pengumuman untuk tidak bertanding pemilihan tersebut mengejutkan ramai pihak memandangkan Kon Yew sedang memikul tugas sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang yang diterajui oleh DAP.
Khabar angin juga bertiup kencang sebelum pengumuman Kon Yew bahawa beliau tidak akan menawarkan diri daripada pemilihan tersebut telah menggusarkan ramai pihak khususnya penyokong kuat DAP. Hal ini demikian kerana, sejak Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang diadakan Ogos tahun lalu, ura-ura mengatakan bahawa Kon Yew tidak akan dilantik semula sebagai Ketua Menteri tersebar luas. Namun ia dinafikan oleh pucuk pimpinan DAP bagi mengelakkan sebarang protes daripada rakyat yang telah selesa dengan kepimpinan Kon Yew.
Tetapi setelah pengumuman terkini Kon Yew, ruang-ruang untuk menggambarkan bahawa Kon Yew juga akan turut meninggalkan kerusi Ketua Menteri Pulau Pinang mudah dicetuskan. Bagi kebanyakkan parti politik, seorang yang telah dilantik sebagai Ketua Kerajaan sesebuah negeri akan menjadi Pengerusi bagi partinya di peringkat negeri. Ia dibuktikan oleh UMNO, KEADILAN dan PAS. Maka langkah Kon Yew tidak bertanding pemilihan kali ini akan menyebabkan pihak umum menganggap Ketua Menteri bakal digantik oleh Pengerusi DAP yang baharu. Mengapa Kon Yew tidak mahu bertanding di peringkat negeri? Adakah benar bahawa Kon Yew akan meninggalkan pejabatnya di menara KOMTAR sebagai Ketua Menteri?
Persoalan tersebut hanya boleh dijawab oleh tuan yang empunya badan. Namun penulis melihat langkah tersebut bagi mengelakkan sebarang strategi untuk menjatuhkan imejnya lalu mendesak beliau meletakkan jawatan dilakukan. Jika beliau meneruskan pertandingan tersebut, pihak yang berseteru dengannya dalam DAP akan menggunakan pelbagai usaha untuk memastikan Kon Yew tidak mendapat undi yang banyak dan tidak tersenarai dalam 15 orang calon yang mendapat undi tertinggi. Secara tidak langsung jika itu berlaku, Kon Yew tidak layak dipilih sebagai Pengerusi Negeri. Tamparan hebat itu bakal mendorong Kon Yew meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri kerana dianggap seorang pemimpin negeri kalah teruk dalam pemilihan parti.
Sebaliknya, pilihan Kon Yew sekarang untuk tidak menyertai perlumbaan tersebut agar beliau masih dianggap menang dan tidak akan dimalukan dalam pemilihan kelak. Langkah ini satu yang bijak namun berimpak kepada kedudukan politiknya kelak. Meskipun Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fok menegaskan bahawa Kon Yew kekal sebagai Ketua Menteri, namun dari semasa ke semasa musuh DAP akan memainkan gendangnya untuk memastikan Kon Yew berasa tidak selesa dan meletakkan jawatan manakala DAP akan berkrisis.
Sebentar, jika andaian penulis ada kelompok yang berseteru dengan Kon Yew akan menggugat Kon Yew dalam DAP, wujudkah kelompok tersebut? Benarkan ada kumpulan dari dalam DAP mahu menurunkan Kon Yew? Semuanya masih dalam andaian. Namun jika tidak wujud pihak yang anti kepada Kon Yew, masakan khabar angin bahawa Kon Yew tidak akan dilantik sebagai Ketua Menteri semasa PRN Ogos tahun lalu? Kalau bukan kerana adanya kelompok anti Kon Yew mahu menolak Kon Yew mengapa beliau harus was-was mahu bertanding atau tidak? Boleh sahaja beliau kekal bertanding bagi mengekalkan posisinya sebagai Ketua Menteri sehingga PRU ke-16.
Apapun perihal yang sedang berlaku dengan DAP, DAP harus sentiasa beringat bahawa DAP merupakan parti yang dianggap sangat berdisiplin dimata umum. Bersedia untuk memberi laluan kepada muka baharu, memegang jawatan penting hanya dua penggal dan sentiasa meletakkan kepentingan parti dihadapan kepentingan diri merupakan perihal disiplin yang sangat dibanggakan kepada DAP. Tetapi apabila isu Pulau Pinang ini boleh mencetuskan konflik sama ada dalam Kerajaan Negeri mahupun DAP, prestasi baik DAP dalam disiplin kepimpinannya mula terobek.
Masyarakat akan melihat DAP juga turut sama seperti parti yang lain dimana ahli dan kepimpinannya berebut-rebut untuk mendapatkan jawatan tertinggi kerajaan dan parti. DAP yang terkenal dengan disiplin dan kekuatan prinsipnya akan meleburkan kepercayaan rakyat jika benar kelompok yang mahu menjatuhkan Kon Yew dibiarkan menjalankan kerjanya tanpa sebarang tindakan pengawalan. Malah jika memang benar Kon Yew meletakkan jawatan dipertengahan penggal ini, segala khabar angin yang muncul satu ketika dahulu akan dianggap benar.
Seharusnya DAP perlu bertindak bijak dalam menangangi perang persepsi yang timbul jika kelompok anti Kon Yew benar-benar tidak wujud. Bagi mengelakkan Pengerusi DAP Negeri yang baharu kelak akan menggugat kedudukan Kon Yew, pengerusi mestilah dilantik dari kalangan yang bukan Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang. Ia sekaligus menolak teori yang kononnya Pengerusi DAP Negeri yang baharu bakal menggantikan Kon Yew sebagai Ketua Menteri.
Manakala persepsi bahawa Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng sedang berseteru dengan Kon Yew harus dimatikan segera. Guan Eng tidak boleh lagi berada dalam barisan kepimpinan DAP Negeri Pulau Pinang. Malah adiknya seorang Timbalan Menteri yang dilihat turut layak mengetuai DAP Pulau Pinang tidak wajar berada disitu bagi menggelakkan anggapan proksi Guan Eng di Pulau Pinang. Kita percaya Loke tahu bagaimana mengatasinya dan akan cuba memastikan krisis ini akan lenyap.
Sewajarnya DAP harus memberikan ruang kepada Kon Yew untuk meneruskan kepimpinannya sehingga PRU ke-16. Kedudukan Kon Yew sebagai Pengerusi DAP Negeri sejak zaman reformasi wajar dikenang memandangkan beliau mengemudi DAP Pulau Pinang ketika DAP hanyalah pembangkang yang berangan-angan besar membentuk kerajaan di Pulau Pinang. Beliau juga turut memberikan ruang kepada Guan Eng sebagai Ketua Menteri sedangkan ketika itu beliau layak dan punya hak.
DAP harus memastikan tiada ruang kepada si pengadu domba yang mampu meresap ke dalam DAP dan melemahkan DAP. Sebaliknya DAP sebagai parti yang berdisiplin, punya jumlah kerusi yang membanggakan dan mula mendapat kepercayaan keseluruhan masyarakat Malaysia perlu memuhasabah diri sehabis baik demi mengekalkan prestasinya.